TNB bakal bangunkan solar atas air, tingkatkan penjanaan RE pada masa hadapan | DagangNews Skip to main content

TNB bakal bangunkan solar atas air, tingkatkan penjanaan RE pada masa hadapan

Floating solar atau solar atas air bakal dibangunkan TNB pada masa hadapan dalam menjana lebih banyak tenaga boleh diperbaharui. - gambar/www.bosch-solar.com
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

SUNGAI PETANI 15 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal membangunkan ladang solar di atas air di negara ini sebagai usaha untuk mengoptimumkan kadar penggunaan permukaan air untuk menghasilkan lebih banyak tenaga boleh diperharui (RE) pada masa akan datang.

 

Pengarah Urusan TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe), Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof berkata, pembinaan solar di atas air atau floating solar itu tidak akan menjejaskan sebarang aktiviti air atau perikanan kerana ia hanya melibatkan antara 10% hingga ke 15% daripada kawasan keseluruhan.

 

Beliau berkata, pembinaan ladang solar terapung itu juga memiliki pelbagai kelebihan termasuk dari segi penyejukan panel solar kerana air di kawasan berkenaan akan memastikan ia sentiasa sejuk.

 

"Kami merasakan kami berada di hadapan dalam rancangan pembangunan itu kerana TNB menerusi TNB Research sudah menjalankan beberapa kajian terhadap di kawasan air tenang seperti tasik dan kolam serta di permukaan air berombak bagi mendapatkan idea terbaik.

 

"Kami juga memiliki data dan pengalaman yang akan membantu kami untuk menjayakan perkara ini pada masa akan datang," katanya selepas mengadakan taklimat mengenai Solar Berskala Besar (LSS) Bukit Selambau.

 

tnb
Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof

 

Beliau berkata, pembangunan itu akan dilakukan di kawasan yang akan dikenal pasti berdasarkan kepada maklumat sedia ada dan hanya meliputi sebahagian kecil permukaan air bagi mengelakkan sebarang kesan kepada ekosistem kawasan air itu.

 

Katanya, pada masa sama, mereka juga akan memantau sistem ekologi bagi memastikan tidak ada impak negatif akan terhasil daripadanya.

 

"Cuma dari segi kos pembangunan di atas air, secara puratanya kami melihat ia adalah lebih tinggi berbanding pembangunan ladang solar biasa di atas tanah konvensional.

 

taiwan
Ladang solar atas air yang terdapat di Taiwan - Gambar/Sun Rise E&T Corp.

 

"Bagaimananpun, kami sedang usahakan dan sedang menilai semua pilihan yang ada bagi memastikan kami mengoptimumkan permukaan-permukaan air.

 

"Kami juga sedang menjalankan kajian untuk penggunaan kedua kawasan floating solar itu seperti pertanian dan perikanan dengan kerjasama penduduk kawasan berhampiran bagi mempelbagaikan aktiviti seperti yang dilakukan di China dan Taiwan," katanya.

 

Katanya, buat masa ini TNB tidak meletakkan sebarang sasaran khusus bagi pembangunan floating solar itu tetapi ia bergerak seiringan dengan kemajuan pembangunan RE yang semakin meningkat. - DagangNews.com