TNB bantu SMART Modular Technologies capai 100% tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

TNB bantu SMART Modular Technologies capai 100% tenaga boleh diperbaharui

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama strategik dengan SMART Modular Technologies Inc. untuk membantu kilang mencapai 100% tenaga elektrik yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui.

 

Menerusi kerjasama strategi itu, GSparx menyediakan penyelesaian solar fotovoltaik dan Tarif Elektrik Hijau oleh TNB untuk syarikat multinasional dalam operasinya di Pulau Pinang. 

 

SMART mempunyai operasi Seberang Jaya, kilang pembuatan utamanya di rantau ini.

 

Pengarah Urusan GSPARX Sdn. Bhd., Elmie Fairul Mashuri berkata, TNB sentiasa bersedia untuk membantu organisasi dalam semua sektor ekonomi mencapai agenda hijau mereka dengan membentuk perkongsian strategik, sejajar dengan usaha berterusan mereka untuk mencapai sasaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami percaya bahawa perkongsian dengan SMART dalam menangani matlamat ESG, memberikan contoh sepenuhnya kepada syarikat multinasional lain di Malaysia untuk memulakan inisiatif yang sama untuk mengurangkan jejak karbon mereka sendiri.
 

"Sebaik sahaja kami menyelesaikan pemasangan solar, SMART akan menyalurkan 1,496 MWj tenaga suria setiap tahun. 

 

"Dengan gabungan penyelesaian GET dan pemasangan solar atas bumbung, jumlah pengimbangan karbon ialah 5,403 tan metrik setahun, bersamaan dengan 99,128 anak pokok yang tumbuh selama 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

TNB

 

Bagi mencapai 100% aspirasi tenaga boleh diperbaharui, 80% akan dicapai melalui langganan SMART kepada GET dengan jumlah langganan 6.96 GWj setiap tahun.

 

Baki 20% akan dikuasakan oleh pemasangan solar fotovoltaik atas bumbung GSPARX dengan kapasiti 1,051kWp di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).

 

Sehingga kini, GSPARX telah berjaya memperoleh 287 projek dengan organisasi komersil, perindustrian dan kerajaan, menjana 232 MWp kapasiti solar secara keseluruhan.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, Kerajaan Pulau Pinang berbangga keranan syarikat beroperasi di negari ini memfokuskan pelaburan ke arah persekitaran yang lebih hijau dan perubahan iklim yang berdaya tahan.


 
“Ini sejajar dengan Wawasan 2030 Pulau Pinang, menggalakkan pengurangan pelepasan merentasi industri. 

 

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan semua inisiatif dan usaha ke arah visi alam sekitar ini dan juga menggalakkan inisiatif dan kerjasama seperti antara SMART, TNB dan GSPARX," katanya. - DagangNews.com