TNB dijangka peroleh semula ICPT tertunggak sebanyak RM4.8 bilion menjelang akhir 2022 - HLIB | DagangNews Skip to main content

TNB dijangka peroleh semula ICPT tertunggak sebanyak RM4.8 bilion menjelang akhir 2022 - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Tenaga Nasional Berhad mendapatkan semula Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tertunggak semasa sebanyak RM4.8 bilion menjelang akhir 2022.

 

Firma itu berkata, sejak harga tenaga bahan api kekal secara relatif stabil dari Julai 2022 hingga hari ini, ia menjangkakan jurang antara anggaran dan harga tenaga bahan api sebenar mengecil dengan ketara untuk semakan ICPT bagi 1HFY23.

 

Sebelum ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah menunjukkan potensi RM20 bilion untuk semakan ICPT akan datang.

 

"Walaupun kos tenaga bahan api yang tinggi, kami kekal positif terhadap tinjauan pendapatan TNB.

 

“Kami percaya kerajaan kekal komited terhadap rangka kerja ICPT dalam menyemai keyakinan pelabur jangka panjang dan memastikan kemampanan jangka panjang sektor tenaga.

 

"Ketidakpadanan aliran tunai jangka pendek akan ditangani menerusi semakan ICPT akan datang menjelang akhir tahun, memandangkan harga bahan api semasa yang stabil," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sehingga November 2022, harga arang batu kekal tinggi, melebihi AS$300 (RM1,423) satu tan sejak kenaikan pada Mac 2022, manakala kemerosotan ringgit baru-baru ini berbanding dolar Amerika Syarikat memburukkan lagi keadaan.

 

Katanya, kelulusan ICPT terkini ialah RM7 bilion (RM5.8 bilion disubsidi oleh kerajaan) untuk 2HFY22.

 

“TNB menyatakan mereka telah menerima RM3.9 bilion daripada komitmen subsidi ICPT RM5.8 bilion yang diluluskan kerajaan.

 

"Pengiraan ICPT oleh Suruhanjaya Tenaga hanya mengambil kira anggaran kos tenaga bahan api dua bulan dan empat bulan, yang mengakibatkan anggaran kos tenaga bahan api sebenar di bawah anggaran apabila harga tenaga bahan api melonjak pada bulan ketiga," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM11.65 dengan hasil kumpulan dijangka stabil bagi FY22. - DagangNews.com