TNB kekal komited pacu inisiatif peralihan tenaga negara menuju Aspirasi Sifar Bersih 2050 | DagangNews Skip to main content

TNB kekal komited pacu inisiatif peralihan tenaga negara menuju Aspirasi Sifar Bersih 2050

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) menuju aspirasi Sifar Bersih 2050 akan membawa pertumbuhan perniagaan positif dan meningkatkan nilai kepada pemegang sahamnya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menegaskan komitmen syarikat utiliti itu dalam memacu peralihan tenaga negara.

 

"Kami akan terus memacu inisiatif strategik kami dalam mencapai komitmen sifar bersih sambil memastikan pertumbuhan perniagaan mampan. 

 

"Laluan peralihan tenaga kami akan membawa pertumbuhan positif perniagaan kepada kumpulan, sambil mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham melalui pertumbuhan pendapatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Baharin berkata, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) akan meneruskan pelaburannya dalam teknologi hijau sebagai sebahagian perjalanan Peralihan Tenaga TNB  (tempatan dan serantau) dan kekal fokus kepada program pengembangan lima loji domestik utamanya.

 

tnb
Datuk Ir. Baharin Din

 

Beliau berkata, Bahagian Tenaga Baru (NED) dengan perancangan kukuh 4.4GW aset Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), akan terus meneroka peluang bukan sahaja di United Kingdom (UK) malahan ASEAN dan Asia Pasifik. 

 

Katanya, Grid pula akan menjalankan dua kajian kebolehlaksanaan pengukuhan kesalinghubungan grid serantau dengan kerjasama rakan strategik utiliti Thailand, Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) dan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN), Indonesia. 

 

BACA JUGA: TNB akhiri FY22 dengan pendapatan lebih tinggi berjumlah RM50.87 bilion

 

BACA JUGA: MIDF Research jangka kekangan terhadap aliran tunai TNB akan berkurangan dalam FY23

 

Bagi kenderaan elektrik (EV), TNB akan membelanjakan kira-kira RM22 juta untuk menyokong ekosistem EV di Malaysia. Tumpuan kepada peralihan tenaga juga akan mempercepatkan lagi transformasi digital pelanggan untuk mengamalkan gaya hidup  yang lebih mampan dan lebih bijak.

 

“Kami komited untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham sambil bertekad menjadi  pembekal terkemuka penyelesaian tenaga mampan merentasi tonggak strategik perniagaan kami,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, pelan perbelanjaan modal (capex) kumpulan 2023 dijangka berjumlah RM12.8 bilion, dengan RM7 bilion adalah modal kawal selia termasuk modal RM1 bilion berkaitan peralihan tenaga manakala baki RM5.8 bilion bagi projek-projek utama lain.

 

“Kami mengharungi 2022 yang menggalakkan dengan pencapaian menarik melalui inisiatif Peralihan Tenaga bertanggungjawab merentasi empat perniagaan iaitu Penjanaan (anak syarikat milik penuh, TNB Genco; NED; Grid dan eksosistem EV," katanya.

 

TNB juga telah menandatangani enam Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan kongsi e-mobiliti terkemuka bagi merangsang pertumbuhan ekosistem bateri kenderaan elektrik (BEV), dan MoU dengan Gamuda membolehkan stesen elektron berkuasa solar pertama negara dibina di Gamuda Cove dan Gamuda Gardens. - DagangNews.com