KUALA LUMPUR 1 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi komitmen syarikat utiliti negara itu sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun kepada semua yang disasarkan di dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjalan dengan lancar.
Merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada 28 Jun lalu, pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna di Semenanjung dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan perinciannya oleh Menteri Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA).
Secara keseluruhannya seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik TNB di Semenanjung akan mendapat manfaat diskaun secara bersasar ini.
Pemberian diskaun antara 5 hingga 40% akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik manakala diskaun sebanyak 5% kepada pengguna-pengguna elektrik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan TNB.
Diskaun sebanyak 10% kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus pula melibatkan 11,800 pengguna. Enam sektor ini adalah pengendali hotel; agensi pengembaraan dan pelancongan; kompleks membeli-belah; pusat konvensyen; taman tema; dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.
Di bawah Pakej PEMULIH, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10% diskaun sehingga 31 Disember 2021, seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri.
"Selain diskaun di bawah Pakej PEMULIH, pengguna elektrik di Semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj dari bulan Julai hingga Disember 2021.
Untuk kedua-dua kategori pelanggan Domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik PEMULIH adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai 2021 – 30 September 2021.
"TNB sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun ini berjalan dengan lancar.
"Sehubungan itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai bil bertarikh 15 Julai 2021. Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1–14 Julai 2021, diskaun bulan Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021," kata TNB dalam kenyataan di sini hari ini.
Kadar Diskaun Bil Elektrik PEMULIH kepada pengguna domestik (Tarif A) di Semenanjung seperti yang diperincikan Menteri Tenaga Tenaga dan Sumber Asli adalah seperti berikut:
Pelanggan yang menerima bil sepanjang bulan Julai 2021 akan menikmati diskaun mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan Julai. Diskaun yang diberikan adalah selepas mengambil kira rebat ICPT. Diskaun akan mula dinikmati sepenuhnya dalam bil bulan Ogos dan September 2021.
Sebagai contoh, pelanggan yang menerima bil pada 11 Julai 2021 untuk jumlah penggunaan elektrik dari 12 Jun hingga 11 Julai 2021, Diskaun Bil Elektrik PEMULIH akan diberikan ke atas jumlah penggunaan dari 1–11 Julai 2021.
Sekiranya jumlah penggunaan dalam 30 hari adalah 220 kWj, diskaun sebanyak 15% akan digunakan selepas rebat ICPT diambilkira. Oleh kerana tarikh bil adalah antara 1–14 Julai 2021, amaun diskaun ini akan dimasukkan ke dalam bil Ogos 2021.
TNB juga bekerjasama dengan Kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini menerusi langkah-langkah berikut:
(i) tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0 Fasa 1;
(ii) penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 September 2021; dan
(iii) Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021.
Untuk soalan lazim berkaitan Diskaun Bil Elektrik PEMULIH, sila layari www.tnb.com.my/mco/pemulih.
Hubungi TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel tnbcareline@tnb.com.my untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai bil. - DagangNews.com