Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 31 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil alih kesemua 5% saham biasa dalam Jimah Energy Ventures Holdings (JEVH) Sdn Bhd dan 5% Nota Kelas B dikeluarkan Special Power Vehicles Berhad (SPVB), keseluruhannya bernilai RM80 juta daripada Menteri Besar negeri Sembilan (Pemerbadanan).
TNB menandatangani perjanjian untuk mengambil alih saham biasa dalam JEVH dan Nota Kelas B yang dikeluarkan Special Power Vehicle Berhad (SPVB) di Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.
Dokumen perjanjian jual beli ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut Amir Hamzah, melalui pengambilalihan ini, TNB sekali gus memperkukuhkan portfolio penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia.
“Pertambahan pegangan dalam Jimah Energy Ventures Holdings Sdn Bhd boleh membawa pulangan positif kepada pendapatan Kumpulan TNB dan akan menambah nilai bagi pihak berkepentingan TNB dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan di ssini.
TNB kini memiliki 25% ekuiti, masing-masing dalam saham biasa JEVH dan Nota Kelas B Special Power Vehicle Berhad. Baki 75% saham dan Nota Kelas B masing-masing dipegang anak-anak syarikat Edra Power Holdings Sdn Bhd.
JEVH buat masa ini memegang 100% pegangan ekuiti dalam Jimah Energy Ventures Sdn Bhd, sebuah syarikat kegunaan khas diwujudkan untuk pembangunan dan operasi Stesen Janakuasa Arang Batu berkapasiti 2 x 700 MW dengan kontrak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun, yang akan tamat pada 2033.
Stesen tersebut terletak di Mukim Jimah, Port Dickson dan bersebelahan dengan Stesen Janakuasa Tunku Mukhriz yang berkapasiti 2 x 1000 MW, di mana TNB mempunyai 70% kepentingan di dalamnya.
Sehingga Tahun Kewangan 2019, kapasiti penjanaan TNB merangkumi 45.66% (6895.37MW) dari arang batu, 33.17% (5009.91MW) dari gas dan 21.17% (3196MW) dari tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain.
Hadir sama menyaksikan majlis tandatangan ialah Ketua Pegawai Penjanaan Tenaga, Datuk Nor Azman Mufti, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Setiausaha Syarikat, Norazni Mohd Isa. - DagangNews.com