TNB tawar pakej pemasangan solar mampu milik untuk jimatkan bil elektrik pengguna | DagangNews Skip to main content

TNB tawar pakej pemasangan solar mampu milik untuk jimatkan bil elektrik pengguna

Datuk Baharin Din
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jun - Memahami keperluan orang ramai melestarikan penggunaan tenaga, terutamanya dalam keadaan cuaca panas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan pakej pemasangan solar mampu milik dan mudah akses melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd. 

 

Tawaran solar atas bumbung tanpa pendahuluan ini disediakan untuk pelanggan kediaman yang mahukan penjimatan jangka panjang bil elektrik mereka.

 

Pakej kepada 150 pelanggan terawal diperkenalkan dengan penjimatan sehingga RM4,999 untuk pemasangan solar fotovoltaik (PV) atas bumbung, bermula hari ini hingga 31 Julai 2023. 

 

Semua pakej baharu ini merangkumi penyelenggaraan percuma sistem solar untuk dua tahun dan insurans solar percuma selama setahun. 

 

VERSI VIDEO: TNB tawar pakej pemasangan solar mampu milik untuk jimatkan bil eletrik pengguna

 

Pemilik rumah yang ingin memaksimumkan penjimatan boleh mengambil tawaran terhad yang menarik ini sekali gus memperkasakan mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, tawaran pemasangan solar mampu milik ini termasuk dengan pakej khas pelanggan terawal yang membolehkan pengguna mencapai penjimatan kos yang ketara di samping menggalakkan amalan penggunaan tenaga lestari. 

 

"Tambahan pula, ini menunjukkan komitmen yang kuat daripada TNB untuk memperkuat inisiatif Net Energy Metering (NEM) 3.0 kerajaan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

tnb
Pembiayaan Fleksibel untuk Tenaga Solar: Pilihan pelan ansuran 36 bulan tanpa faedah melalui kad kredit atau pinjaman kewangan dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

 

 

Bagi meningkatkan kemampuan pelanggan memiliki pakej solarnya, GSPARX telah bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan yang fleksibel. 

 

Pilihan ini termasuk plan ansuran 36 bulan tanpa faedah melalui kad kredit atau pinjaman kewangan dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

 

Melalui pilihan pembiayaan ini, GSPARX memudahkan pelanggan berubah menjadi prosumer untuk serentak menikmati manfaat ekonomi sambil mengawal penggunaan tenaga mereka sendiri. 

 

Dengan memainkan peranan sebagai prosumer, pelanggan dapat mengambil langkah proaktif untuk menangani kesan daripada sebarang kenaikan kos elektrik masing-masing.

 

Pendekatan berwawasan TNB dan tawaran inovatif GSPARX ini, membolehkan pelanggan memulakan hala tuju ke arah gaya hidup lestari, berhemat dan lebih hijau. 

 

Dengan memanfaatkan tenaga solar, pelanggan boleh menguruskan perbelanjaan elektrik mereka dengan berkesan sambil mengambil bahagian secara aktif dalam usaha global menangani perubahan iklim dan menggalakkan amalan lestari.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran atas bumbung solar GSPARX dan pilihan pembiayaan, sila lawati https://www.gsparx.com atau https://www.tnb.com.my/solar - DagangNews.com