KUALA LUMPUR 3 Sept - Tenaga Nasional Berhad telah menyelesaikan penyambungan tujuh projek pusat data ke grid elektrik berjumlah kira-kira 1,070MW pada separuh pertama tahun setakat ini.
CIMB Securities dalam notanya berkata, TNB berkongsi dalam taklimatnya bahawa syarikat utiliti nasional itu telah menerima tambahan permohonan 3.2GW daripada 21 projek pusat data yang sedang dalam peringkat permohonan bekalan.
"Permintaan DC yang kukuh telah menyebabkan TNB menganggarkan permintaan yang lebih tinggi 3.0-4.0% bagi ramalan tahun kewangan 2024, berbanding anggaran sebelumnya 2.5%-3.0%," katanya.
"Ini adalah positif kerana boleh menunjukkan unjuran permintaan elektrik yang lebih tinggi memasuki Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) berbanding parameter pertumbuhan 1.7% yang tertera dalam RP3.
"Ini sepatutnya membantu mengurangkan tekanan ke atas tarif elektrik, sekali gus menyediakan sokongan untuk kemungkinan peningkatan perbelanjaan modal mengenai aset terkawal TNB semasa RP4-RP5, selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR)," kata CIMB Securities.
Menurut firma itu lagi, pertumbuhan permintaan tenaga elektrik yang kukuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka mampan dalam tempoh terdekat hingga sederhana.
Ini sebahagiannya didorong oleh peningkatan permintaan tenaga daripada pusat data dalam beberapa tahun akan datang.
Sementara itu menurut TA Research, pihak pengurusan turut berkongsi rancangan TNB untuk memperkasakan semula loji janakuasa Paka dengan cadangan kapasiti Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) sebanyak 1400MW.
Cadangan itu kini dalam rundingan dengan pengawal selia dan jika berjaya, TNB menyasarkan tarikh operasi komersial (COD) menjelang 2030.
"Selain itu, TNB juga melihat potensi untuk memperkasakan semula loji janakuasa Kapar dengan kapasiti CCGT 2100MW baharu menjelang 2031.
"Loji janakuasa Kapar kini terdiri daripada satu blok kapasiti arang batu 1486MW dan satu lagi kapasiti gas konvensional 564MW, yang dijangka tamat tempoh pada 2029," kata TA Research. - DagangNews.com