Top Glove hilang peluang pendapatan RM218.4 juta, ramal TA Securities | DagangNews Skip to main content

Top Glove hilang peluang pendapatan RM218.4 juta, ramal TA Securities

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. Syarikat pengeluar sarung tangan terkenal, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) diramal akan kehilangan peluang pendapatan sebanyak RM218.4 juta.

 

Ramalan tersebut dibuat selepas menilai kepada situasi 20 kilang Top Glove di Klang yang terpaksa ditutup akibat penularan wabak COVID-19.

 

"Jangkaan kos peluang itu mewakili kira-kira 2.1% untung bersih bagi tahun kewangan 2021, dengan anggaran setiap kilang menjana keuntungan sekitar RM780,000 setiap hari.

 

"Masih terlalu awal untuk kami menilai potensi impak pendapatan Top Glove kerana penutupan sementara kilang akan terus mengurangkan bekalan sarung tangan dalam pasaran.

 

"Perkara itu akan menyebabkan peningkatan purata harga jualan (ASP) produk sarung tangan syarikat tersebut," jelas TA Securities.

 

Mengulas berkaitan impak secara menyeluruh, TA Securities memberitahu, Top Glove berkemungkinan akan mengalami kesan minimum dan situasi berkenaan akan kembali pulih setelah pekerja yang dikuarantin kembali bekerja selepas 14 hari.

 

Dalam makluman terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini,  satu pasukan Task Force telah diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove.

 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan Task Force berkenaan  dianggotai oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang, IPD Klang. 

 

"20 kilang (Top Glove) telah pun menutup operasi mereka manakala 8 lagi akan ditutup secara berperingkat.

 

"Pihak kilang juga telah diarahkan untuk menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan PKPD dan akan dikuarantin," jelas beliau dalam sidang akhbar hari ini. - DagangNews.com