Top Glove tawar 9,000 peluang kerja mulai esok | DagangNews Skip to main content

Top Glove tawar 9,000 peluang kerja mulai esok

Top Glove

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

Top Glove berkata, tawaran yang dibuka sepanjang tahun 2021 itu bertujuan untuk membantu mengurangkan pengangguran di negara ini.

 

"Sasaran ini diharap dapat dicapai menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya pada 23 Januari 2021 (esok).

 

"Program ini bertujuan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang baharu tamat pengajian universiti, institusi vokasional selain pekerja am di Malaysia," jelas Top Glove dalam satu kenyataan.

 

Top Glove berkata, syarikat menawarkan sebanyak 4,000 jawatan bagi pekerja tempatan, 2,300 jawatan bagi graduan baharu universiti dan vokasional teknologi.

 

Bagi pelatih latihan industri dan pelatih pula, Top Glove menawarkan 2,000 peluang serta 700 peluang untuk pekerja yang berpengalaman.

 

Sementara itu,  Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, program tersebut diharap dapat membantu golongan pencari kerja untuk mendapatkan kerjaya yang bermanfaat.

 

“Kami juga berbangga dapat membantu serta menyokong rakyat Malaysia dengan menawarkan pekerjaan ini yang turut menjadi antara usaha penting bagi membolehkan ekonomi dan sosial negara kembali pulih daripada pandemik," tambah beliau seperti dilapor Bernama.

 

Mengulas usaha yang dibuat Top Glove itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keselamatan dan kebajikan pekerja juga perlu dititikberatkan syarikat berkenaan.

 

"Syarikat berkenaan perlu memastikan semua bakal pekerjanya menjalani ujian saringan COVID-19, bagi mengelak jangkitan baharu dalam kalangan mereka, selain menyediakan kemudahan penginapan bagi mereka yang menghadapi masalah itu.

 

"Saya harap semua pekerja mengambil ujian 'swab' dan mereka yang tiada rumah sendiri, saya harap mereka ditempatkan di tempat yang kondusif untuk diduduki.

 

"Kita tidak mahu ada tambahan kes dalam kalangan pekerja syarikat ini," katanya. - DagangNews.com