Tourism Malaysia Wilayah Selatan promosikan lokasi pelancongan Kejora | DagangNews Skip to main content

Tourism Malaysia Wilayah Selatan promosikan lokasi pelancongan Kejora

Taman Geologi Tanjung Balau, Kota Tinggi di Johor.
oleh ZAKI SALLEH

KOTA TINGGI 15 Mac - Masih banyak lokasi pelancong domestik di selatan tanahair perlu diketengahkan kepada pengunjung selain mempunyai nilai tarikan tersendiri.

 

Kawasan dalam Wilayah Kejora (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara) misalnya antara lokasi yang menarik tetapi kurang diketahui ramai selain beranggapan jauh untuk dituju.

 

Sehubungan itu, Tourism Malaysia Wilayah Selatan giat melakukan promosi secara berterusan termasuk melalui media sosial untuk mendekatkan lokasi ini kepada masyarakat.

 

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhamad Nasir Pahmi berkata, kawasan pelancongan di Wilayah Kejora mempunyai keunikan tersendiri yang tiada di tempat lain.


 

Muhamad Nasir Pahmi
                     Muhamad Nasir Pahmi

 


"Kawasan ini kaya dengan produk-produk pelancongan bersifat alam semula jadi selain warisan peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua.

 

"Tidak ketinggalan pelbagai makanan tradisional yang unik dan juga sosio budaya masyarakat setempat yang menarik.

 

"Keunikan yang ada di sini umpama permata tersembunyi yang perlu digilap," ujarnya.

 

Antara lokasi pelancongan tumpuan seperti  Desaru Coast River Side (JungleWalla Desaru), Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muzium Kota Johor Lama, Homestay Kampung Johor Lama dan pembuatan jong.

 

Tarikan lain ialah menyusuri paya bakau di Pulau Tanjung Surat dan rumah rakit Kejora.

 

 

parafrasa
Menyusuri paya bakau di Pulau Tanjung Surat.

 

parafrasa
Muzium Kota Johor Lama mempamerkan kajian arkeologi yang telah dijalankan di dalam kawasan kota ini oleh penyelidik tempatan dan luar negara.

 

Pada yang gemarkan makan-makan, mereka boleh menikmati masakan istimewa seperti nasi lemak daun simpoh, teh jeruju, ais batu kacang madu kelulut, sup gamat dan nasi beriani kambing timbus.

 

Dalam pada itu kata Muhamad Nasir, pihaknya baharu sahaja melaksanakan program 'Kembara Kejora – Unveils Its Wonders 2023' pada 3 hingga 6 Mac lalu. 


 

parafrasa
Sebahagian daripada peserta yang mengikuti program 'Kembara Kejora – Unveils Its Wonders 2023'.

 

Ia melibatkan penyertaan 36 orang peserta terdiri daripada pempengaruh media sosial, media arus perdana dan agensi kerajaan berkaitan.

 

"Selain mempromosikan aktiviti pelancongan baharu dan sedia ada di sini, para peserta juga menghasilkan kandungan seperti penulisan, foto dan video. 

 

"Hasil karya ini akan disatukan untuk menghasilkan sebuah coffee table book sebagai rujukan khas ekopelancongan dan desa di daerah Kota Tinggi khususnya di kawasan Kejora," ujar beliau. - DagangNews.com