Toyota catat jualan positif bagi bulan April 2021 | DagangNews Skip to main content

Toyota catat jualan positif bagi bulan April 2021

 

SHAH ALAM 12 Mei - UMW Toyota Motor Sdn Bhd selaku pengimport tunggal, pengedar dan pengilang kenderaan Toyota di Malaysia mencatat jualan positif bagi keseluruhan April 2021 sebanyak 9,280 unit kenderaan Toyota dan Lexus telah terjual.

 

Pertumbuhan ini dipacu oleh pemulihan keyakinan serta meningkatnya kuasa membeli pelanggan, yang secara langsung meningkatkan permintaan terhadap model-model baru kenderaan Toyota. Ini termasuk juga kalangan pelanggan yang ingin memanfaatkan penjimatan daripada pengecualian SST yang akan berakhir 30 Jun nanti.

 

Prestasi jualan bulan April didorong juga oleh pengenalan model baru Corolla Cross dan Harrier yang baru saja dilancarkan baru-baru ini. Ia merupakan usaha Toyota untuk memenuhi permintaan serta keperluan pelanggan generasi baru yang semakin meluas dan meningkat.

 

UMWT juga berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam mengembangkan lagi industri automotif di Malaysia dalam keadaan negara sedang berdepan dengan situasi pandemik ketika ini.

 

"Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan besar dan menjadikan keadaan sangat mencabar bagi pengeluar kenderaan dan pelanggan. Tetapi dengan langkah yang diambil oleh kerajaan, ia telah berhasil untuk mengembalikan kekuatan kuasa membeli pelanggan," ujar Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

 

Beliau juga mengaitkan pertumbuhan jualan itu dengan masa yang betul bagi pengenalan beberapa model baru yang telah berhasil memperkukuhkan posisi Toyota dalam beberapa segmen kenderaan, dengan cara melibatkan meningkatkan aspek kelengkapan serta teknologi keselamatan, penggayaan dan dinamik pemanduan.

 

"Kenderaan generasi baru Toyota kekal boleh diharap, lasak, jimat untuk dimiliki serta sangat praktikal. Bukan itu saja, ia juga turut membawakan tahap baru bagi keselesaan, prestasi dan keseronokan memandu yang menepati selera serta keperluan pelanggan generasi baru," tambahnya.

 

toyota
Model Harrier dan Corolla Cross menyumbang kepada peningkatan jualan Toyota di Malaysia bagi bulan April.

 

Presiden UMWT, Ravindran K. pula menekankan bahawa komitmen berterusan syarikat untuk memperluas serta meningkatkan lagi rangkaian jualan dan lepas jualan akan melibatkan juga pengenalan lebih banyak tawaran inovatif dan menarik sebagai tarikan kepada pelanggan, dengan janji terhadap pengalaman pemilikan yang dipertingkatkan.

 

Sejajar dengan ini, UMWT turut mengumumkan pembukaan pusat 2S (Jualan dan Servis) di Cheras
(PDC Automobile), serta pembukaan dua lagi pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) April lalu oleh Mutiara Motorsport di Johor Bahru dan HLT Temerloh di Kemaman, Terengganu.

 

"Sebagai tambahan, kami juga memberi perhatian terhadap kecenderungan pelanggan untuk urusan dalam talian seperti yang ditunjukkan oleh pilihan dan manfaat digital kukuh yang kami terima melalui pertanyaan dan tempahan melalui kaedah tersebut. Kami akan terus berusaha memperkaya pengalaman digital dalam melayani pelanggan melalui platform lebih baik dan lebih mudah di masa hadapan," tambahnya.

 

Sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, UMWT menawarkan promosi Ganjaran Tak Terhingga yang membolehkan pelanggan terus menikmati penjimatan SST bagi kedua-dua model kenderaan pemasangan tempatan atau diimport sehingga 30 Jun ini.

 

Sebagai tambahan, pelanggan juga berpeluang menikmati penjimatan tambahan dengan Toyota Service Savers yang menawarkan kelegaan fikiran buat pelanggan dengan kosselenggara yang rendah. Pembeli kereta baru juga akan dapat memanfaatkan bayaran ansuran lebih rendah (bergantung model) melalui
skim pembiayaan EZ Beli oleh UMWT.

 

Juga, jangan ketinggalan untuk menonton iklan Hari Raya UMWT dengan judul "Umi Pembaris" yang akan menemui penonton minggu ini. Ia meraikan nilai-nilai kekeluargaan, budaya dan tradisi yang kekal dekat di hati kita dalam menempuh suasana zaman yang deras berubah dan bertambah moden ini. - DagangNews.com