Transaksi dalam talian meningkat 39.3% pada Mei | DagangNews Skip to main content

Transaksi dalam talian meningkat 39.3% pada Mei

Alexander Nanta Linggi

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Jumlah transaksi dalam talian berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 39.3% pada Mei 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah tersebut direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Ini merupakan titik permulaan baik dalam usaha membangunkan perniagaan yang berkonsepkan digital khususnya dalam sektor peruncitan.

"Kementerian (KPDNHEP) menggalakkan perkembangan ini iaitu peralihan model perniagaan fizikal kepada platform digital bagi membolehkan peniaga meneruskan kelangsungan operasi," jelasnya ketika menjawab pertanyaan lisan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan tersebut dibentangkan selepas Fuziah meminta beliau menyatakan landskap terkini perniagaan dalam talian ketika situasi pandemik COVID-19.

Selain itu, Fuziah turut meminta beliau memberitahu langkah kementerian dalam membantu peniaga beralih daripada model perniagaan fizikal kepada platform digital untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

 

Dalam jawapan yang sama, Alexander memberitahu, kementeriannya telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam meningkatkan peluang perniagaan dalam talian khususnya dalam kalangan peruncit.

"Contohnya, kementerian telah mengambil inisiatif mengadakan sesi libat urus bersama wakil pengendali pasar dalam talian (market place) bagi membincangkan kaedah dan penyelesaian terhadap isu berkaitan e-dagang.

"Hasil awal yang diperoleh ialah kejayaan dalam memberi peluang kepada peniaga untuk meluaskan pasaran produk mereka seperti hasil segar dan makanan laut menerusi market place yang terpilih sepanjang PKP," jelasnya.

Tambahnya lagi, kementerian juga telah melaksanakan advokasi digital dengan penghasilan infografik digital yang dimuat naik melalui media sosial kementerian yang berkaitan dengan garis panduan yang perlu diketahui peniaga dalam menjalankan transaksi dalam talian.

"Perkara tersebut secara tidak langsung akan memberi panduan kepada peniaga secara khusus berkaitan tatacara perniagaan dalam talian sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012," ujarnya - DagangNews.com