Traveloka, Malaysia Airlines jalin kerjasama selaraskan proses tempahan penerbangan | DagangNews Skip to main content

Traveloka, Malaysia Airlines jalin kerjasama selaraskan proses tempahan penerbangan

Dari kiri:Ketua Pemasaran Negara Traveloka, Raymond Albert;Naib Presiden Syarikat Penerbangan Komersial Traveloka, Charles Wong;Ketua Pegawai Komersial, Perniagaan Syarikat Penerbangan, Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran dan Ketua Jualan Global Syarikat Penerbangan, Malaysia Aviation Group Malaysia, Syazwan Ahmad Sabri.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Traveloka memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Airlines bagi penyelarasan proses tempahan penerbangan dan menawarkan faedah eksklusif.

 

Menurut Traveloka, kerjasama itu bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan dengan menggabungkan laluan sambungan domestik dan antarabangsa syarikat penerbangan itu. 

 

Presiden Traveloka, Caesar Indra berkata, kerjasama dengan Malaysia Airlines sejajar dengan matlamat Traveloka untuk meningkatkan pelancongan dengan menambah baik perjalanan domestik dan mempromosikan destinasi antarabangsa. 

 

"Kerjasama ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai platform pelancongan terkemuka Asia Tenggara dan peneraju industri serantau," katanya dalam satu kenyataan.

 

Di samping itu, data Traveloka menunjukkan peningkatan permintaan yang stabil dalam kalangan pengembara Malaysia dengan carian penerbangan meningkat secara konsisten setiap bulan sejak Januari 2024. 

 

Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama dengan Traveloka menetapkan penanda aras baharu dalam perjalanan serantau. 

 

"Dengan memanfaatkan ketersambungan domestik dan antarabangsa Malaysia Airlines yang meluas dengan teknologi canggih Traveloka, perkongsian ini menunjukkan komitmen yang jelas untuk memberikan pelanggan pengalaman perjalanan yang lancar. 

 

"Dengan tumpuan pada keselamatan, kemudahan dan nilai, disokong oleh keistimewaan 'Malaysian Hospitality' kami, Malaysia Airlines akan memenuhi keperluan pengembara dengan cekap dan berkesan," katanya.

 

Sementara itu, Traveloka menawarkan diskaun sehingga RM2,655 untuk produk penerbangan, terutamanya bagi Malaysia Airlines. 

 

"Sebagai sebahagian daripada tawaran ini, pengembara boleh menikmati jualan kilat eksklusif 50% bagi penerbangan Malaysia Airlines dari 7 hingga 9 September 2024.

 

"Tawaran istimewa ini adalah sebahagian daripada kempen Traveloka Travel Fiesta yang sedang berlangsung dari 26 Ogos hingga 22 September 2024," ujarnya.- DagangNews.com