Tren Diesel Multiple Unit dilancar di Pantai Timur | DagangNews Skip to main content

Tren Diesel Multiple Unit dilancar di Pantai Timur

 

PASIR MAS 11 April – Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Pasir Mas, dilancarkan khusus untuk menggantikan perkhidmatan tren diesel konvensional KTM Intercity jajaran Pantai Timur bagi sektor Tumpat–Kuala Lipis.

 

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong melakukan perasmian pada majlis khas di di sini hari ini.

 

Tren DMU mempunyai empat koc setiap unit dilengkapi dengan fasiliti moden seperti skrin LED, soket kuasa, ruang solat, tandas, bistro dan ruang menyimpan bungkusan. Tren DMU juga mesra OKU, iaitu mempunyai empat tempat duduk dan tandas yang memenuhi keperluan penumpang OKU.

 

Perkhidmatan komersial tren DMU akan dijalankan secara berperingkat dan operasi pertama tren bermula pada hari ini, 11 April bagi laluan Tumpat–Gua Musang dan Gua Musang–Kuala Lipis.

 

Dalam langkah kerajaan untuk mengurangkan beban sara hidup terutama bagi pelajar dan golongan OKU, pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 6 dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan tren DMU sektor Kuala Lipis–Tumpat boleh menikmati tambang RM5 sebulan melalui pembelian pas perjalanan bulanan tanpa had, MyRail5. Golongan pelajar dan OKU ini perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum mendapatkan pas tersebut. 

 

Dr. Wee berkata perkhidmatan ini bakal membawa pembaharuan dan merancakkan lagi sektor ekonomi, sosial dan pelancongan di Pantai Timur.

 

Katanya lagi, jumlah penumpang perkhidmatan DMU ini dalam sehari dijangka meningkat apabila kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri. - DagangNews.com