Tuju Setia peroleh kontrak RM247.9 juta daripada Sime Darby Property bagi pembinaan 2 blok servis apartmen di Subang Jaya | DagangNews Skip to main content

Tuju Setia peroleh kontrak RM247.9 juta daripada Sime Darby Property bagi pembinaan 2 blok servis apartmen di Subang Jaya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Tuju Setia Bhd menerusi Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM247.9 juta daripada Sime Darby Property Bhd untuk membina dua blok servis apartment dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM597.2 juta di USJ 7, Subang Jaya, Selangor. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, merentasi tanah seluas 1.74 hektar, Hype Residences mempunyai bangunan setinggi 39 tingkat yang terdiri daripada dua menara (Menara A dan Menara B), lengkap dengan tempat letak kereta dan kemudahan seperti taska, bilik pengurusan, kolam renang gimasium serta surau.

 

"Kontrak itu adalah untuk tempoh 33 bulan dan secara tentatifnya dijadualkan bermula pada 22 Ogos 2024," katanya.

 

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, dipilih oleh Sime Darby Property untuk projek Hype Residences adalah peristiwa penting kepada kumpulan, ia menandakan permulaan kerjasama dengan pemaju hartanah terkenal dan menekankan keyakinan terhadap keupayaan pihaknya.

 

eng kong
Wee Eng Kong

 

Beliau berkata, Sime Darby Property merupakan antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam membina komuniti yang mampan dan pihaknya berbangga terlibat dengan pembangunan pelan induk SJ7 itu.

 

"Kontrak itu menggariskan komitmen kami untuk menjadi Pembina Pilihan dengan secara konsisten menyampaikan projek tepat pada masanya dan pada standard kualiti tinggi.

 

"Komitmen ini terbukti dalam markah konsisten QLASSIC kami untuk projek yang disiapkan tahun ini, 84% untuk Tuai Timur Residences di bawah Suntrack Development Sdn Bhd dan 85% untuk Savvy Riana Dutamas Residence di bawah 368 Segambut Sdn Bhd (usaha sama antara IJM Land Berhad dan FCW Holdings Berhad)," katanya.- DagangNews.com