KUALA LUMPUR 23 Julai - Tune Protect Group Berhad, penyedia insurans perjalanan eksklusif AirAsia, memberi sokongan kepada penumpang yang terjejas oleh gangguan IT global baru-baru ini yang telah mengganggu penerbangan AirAsia dan juga beberapa penerbangan yang lain.
Memahami kesulitan dan kekecewaan yang timbul akibat gangguan ini, Tune Protect ingin memastikan penumpang AirAsia yang telah membeli Insurans Perjalanan AirAsia atau Insurans AirAsia MOVE menerima bantuan yang mereka perlukan dalam tempoh mencabar ini.
Penumpang AirAsia yang telah membeli Insurans Perjalanan AirAsia atau Insurans AirAsia MOVE yang terjejas oleh kelewatan penerbangan semasa tempoh ini digalakkan untuk menyemak semula polisi perlindungan mereka dan mengemukakan tuntutan kelewatan penerbangan sewajarnya.
"Tuntutan kelewatan penerbangan ini bergantung kepada polisi perlindungan dan tempoh kelewatan.
"Sebagai rakan kongsi insurans eksklusif AirAsia, Tune Protect memberikan komitmen untuk membantu penumpang mereka pada masa-masa memerlukan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Untuk maklumat lanjut mengenai tuntutan atau untuk menghubungi khidmat pelanggan Tune Protect, sila layari https://www.tuneprotect.com/airasia/en/home/ atau hubungi 03-2056 6200. - DagangNews.com