KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tune Protect Group Berhad merekodkan kerugian bersih RM19.8 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) berbanding untung bersih RM14.25 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Kerugian itu tidak dapat dielakkan walaupun kumpulan itu mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 29% kepada RM142.82 juta pada suku tersebut berbanding RM110.69 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, pendapatannya dipengaruhi oleh kerugian RM17.7 juta dalam keuntungan taja jamin, RM19.7 juta kejatuhan dalam pendapatan pelaburan serta peningkatan sebanyak RM5.7 juta dalam bahagian kerugian syarikat bersekutu.
"Penurunan keuntungan taja jamin sebanyak RM17.7 juta disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam premium tidak terperoleh sebanyak RM34.8 juta manakala jumlah perbelanjaan yuran dan perbelanjaan komisen RM35.73 juta," katanya.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun 2022, kerugian bersih Tune Protect meningkat kepada RM22.78 juta berbanding RM1.2 juta tahun lalu, disebabkan penurunan RM18.4 juta dalam keuntungan taja jamin dan peningkatan kerugian RM8 juta dalam syarikat bersekutu.
Ia menjelaskan bahawa penurunan keuntungan taja jamin sebanyak RM18.4 juta disebabkan terutamanya oleh premium tidak terperoleh yang lebih tinggi sebanyak RM51 juta manakala jumlah perbelanjaan yuran dan perbelanjaan komisen sebanyak RM53.92 juta.
Kumpulan itu menjangkakan tiga teras utamanya iaitu gaya hidup, kesihatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mencatatkan pertumbuhan positif selaras dengan pemulihan ekonomi yang disumbangkan oleh perkongsian dan saluran agensinya.
"Kerjasama baharu dengan rakan kongsi strategik dan inovasi berterusan kumpulan bagi platform B2B (perniagaan-ke-perniagaan) dan aplikasi B2C (perniagaan-ke-pengguna) dalam meluaskan pengedaran produk dijangka menyumbang secara positif kepada keseluruhan perniagaan kumpulan.
"Selain itu, kumpulan itu juga dijangka mendapat manfaat daripada rizab premium belum diperoleh sepanjang tahun yang diperoleh daripada pertumbuhan premium bertulis bersih yang tinggi 2QFY22," katanya.
Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan pulangan pelaburannya kekal tidak menentu pada suku akan datang memandangkan ketidaktentuan dalam prospek pasaran global selain diburukkan oleh inflasi dan risiko kemelesetan ekonomi. - DagangNews.com