Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai Pengerusi MAVCAP | DagangNews Skip to main content

Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai Pengerusi MAVCAP

KUALA LUMPUR 1 Julai - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP).

 

MAVCAP dalam satu kenyataan berkata, perlantikan Tunku Alizakri sebagai Pengerusi baharu itu berkuat kuasa hari ini.

 

"Ahli lembaga pengarah dan pengurusan MAVCAP gembira dengan perlantikan Tunku Alizakri ini.

 

"Beliau mempunyai pengalaman korporat serta kepakaran yang luas selain rekod kejayaan yang terbukti. Kumpulan yakin MAVCAP akan terus maju di bawah kepemimpinannya," katanya.

 

Sementara itu, Tunku Alizakri berkata, pelantikannya itu adalah satu penghargaan kerana MAVCAP adalah syarikat modal teroka (VC) terkemuka negara.

 

"Saya gembira dapat bekerjasama dengan lembaga pengarah dan pengurusan untuk terus memacu pengembangan sektor VC Malaysia," katanya.

 

Tunku Alizakri mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pelbagai bidang seperti pengurusan dana, sektor kewangan, perbankan, keselamatan sosial, penjagaan kesihatan, media dan telekomunikasi, pembangunan hartanah, perladangan serta minyak dan gas.

 

Beliau mula menyertai KWSP pada 2014 sebagai Timbalan CEO (Strategi) dan kemudian berkhidmat sebagai CEO dari 2018 sehingga Februari 2021.

 

Semasa berkhidmat, Tunku Alizakri melancarkan dana ekuiti swasta berasaskan syariah pertama dan terbesar di dunia.

 

Di samping itu, beliau turut mempelopori pengembangan dan pembentukan Majlis Perlindungan Sosial Malaysia, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

 

Di bawah kepimpinannya, KWSP juga menjadi dana pencen Asia pertama yang menetapkan sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) agar portofolionya dapat dicapai menjelang 2030. - DagangNews.com