U Mobile jalin kerjasama dengan Edotco bagi percepatkan pelancaran rangkaian 5G kedua | DagangNews Skip to main content

U Mobile jalin kerjasama dengan Edotco bagi percepatkan pelancaran rangkaian 5G kedua

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - U Mobile Bhd dan Edotco menjalinkan kerjasama bagi mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G kedua.

 

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, U Mobile akan memanfaatkan jejak menara dan kepakaran Edotco.

 

Menerusi memorandum persefahaman itu, Edotco akan memberikan U Mobile maklumat dan akses kepada infrastruktur menaranya, kesediaan sumber dan penghantaran tapak yang dipercepatkan bagi memudahkan pelancaran rangkaian 5G kumpulan itu.

 

U Mobile dan Edotco juga akan bersama-sama membangunkan proses yang diperkemas bagi memacu kecekapan dalam mengenal pasti lokasi dan struktur menara yang betul berdasarkan kecerdasan buatan (AI) dan analitik dipacu data, pemerolehan tapak yang lebih pantas dan lebih cekap dan kebenaran dengan bekerjasama dengan pelbagai agensi negeri.

 

Selain itu, kedua-dua pihak akan membincangkan pengaturan komersial untuk pelbagai keperluan infrastruktur, termasuk tapak terbina mengikut kesesuaian, lokasi bersama, naik taraf tapak dan liputan dalaman dengan matlamat untuk mewujudkan tawaran yang cekap kos dan berdaya saing bagi membolehkan pelancaran tepat pada masanya.

 

edotco

 

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat memanfaatkan infrastruktur menara Edotco bagi mempercepatkan pelancaran, mengukuhkan lagi kedudukan mereka bagi menggunakan rangkaian 5G kedua.

 

"Kami teruja dalam memastikan perkhidmatan 5G yang berpatutan dan berkualiti untuk rakyat Malaysia dan mempamerkan manfaat ekonomi yang akan dibawa oleh teknologi kepada pengguna, perniagaan dan sektor awam," katanya.

 

Edotco merupakan pengendali dan pengurus portfolio serantau yang mempunyai lebih 58,000 menara, ialah unit syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia mengikut hasil, Axiata Group Bhd. Di Malaysia sahaja, syarikat itu mempunyai 20,000 menara.

 

Pengarah Perniagaan Malaysia Edotco, Gayan Koralage berkata, kumpulan itu komited meningkatkan ketersambungan di seluruh negara sambil berdedikasi bagi bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih.

 

"Perkongsian ini sememangnya satu langkah ke hadapan yang penting dalam mempercepatkan masa depan 5G Malaysia,” katanya.

 

U Mobile dan Edotco sudah menjalinkan kerjasama lebih sedekad. Baru-baru ini, U Mobile memperbaharui kontrak pajakannya dengan Edotco untuk satu tempoh lagi dan juga sedang mengusahakan pelan penyatuan tapak, bertujuan mengurangkan kos operasi rangkaian. - DagangNews.com