U Mobile jalin kerjasama dengan Huawei Malaysia, sokong pelan rangkaian 5G kedua Malaysia | DagangNews Skip to main content

U Mobile jalin kerjasama dengan Huawei Malaysia, sokong pelan rangkaian 5G kedua Malaysia

U Mobile merupakan salah satu syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia. -Gambar U Mobile
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos - U Mobile dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong pelan stategik rangkaian 5G syarikat telekomunikasi itu.

 

Menerusi MoU itu, U Mobile akan bekerjasama dengan Huawei Malaysia dalam membina rangkaian 5G kedua paling cekap dan berprestasi tinggi di Malaysia. 


 
Dalam usaha mencapai matlamat itu, U Mobile akan menggunakan perkakasan dan perisian terkini serta menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Huawei Malaysia bagi memenuhi keperluan pelanggan 5G serta meningkatkan penggunaannya dalam pasaran.

 

Selain itu, U Mobile juga akan memanfaatkan kepakaran teknikal Huawei Malaysia khususnya penggunaan teknologi rangkaian akses radio (RAN).

 

Syarikat telekomunikasi itu berkata, melalui kerjasama itu mereka akan memanfaatkan perkongsian kepakaran global Huawei Malaysia. 

 

“Kerjasama ini akan memberi peluang kepada kami mengguna pakai teknologi termaju untuk menyokong keperluan pasaran melalui penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Huawei Malaysia, terutamanya perusahaan yang mempunyai kependaman ultra rendah dan keperluan lebar jalur yang besar,” ujar U Mobile dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang untuk pembiayaan projek, termasuk pilihan seperti pembiayaan vendor atau pelan pembayaran tertunda.

 

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, kerjasama dengan Huawei Malaysia sebagai rakan kongsi jangka panjang akan memainkan peranan penting dalam membantu syarikat itu meningkatkan pengalaman 5G dan juga dalam persediaannya menggunakan teknologi RAN. 

 

“Ini akan membantu kami memastikan infrastruktur U Mobile mampu menyokong keperluan yang berkembang pesat dan memberi perkhidmatan berprestasi tinggi, terutamanya daripada sektor perusahaan,” ulas beliau. 

 

Pada masa yang sama, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Carrier Network Huawei Malaysia, Zac Chow berkata, syarikatnya menyasarkan untuk merapatkan jurang digital serta memberi askes digital yang mudah kepada orang ramai melalui kerjasama itu. 

 

“Kami akan teruskan usaha mempromosikan pertumbuhan penyelesaian teras kami untuk membantu pengendali perkhidmatan digital seperti U Mobile mempercepatkan pembangunan perkhidmatan telekom dan membuka kunci kejayaan perniagaan yang lebih besar,” ujar beliau. 

 

Sementara itu, U Mobile berkata kerjasama dengan Huawei Malaysia merupakan asas untuk perkongsian semasa yang lebih luas serta menunjukkan dedikasi kedua-dua syarikat itu dalam memajukan teknologi inovasi 5G dan 5G ke perniagaan (5G-to-B) di Malaysia.- DagangNews.com