Ubah imej Ipoh bandar pencen, contohi negara luar pacu sektor pelancongan tingkatkan ekonomi domestik | DagangNews Skip to main content

Ubah imej Ipoh bandar pencen, contohi negara luar pacu sektor pelancongan tingkatkan ekonomi domestik

Ipoh perlu meneroka menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonomi dengan kedatangan pelancong yang ramai.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 4 Julai - Bandaraya Ipoh perlu melakukan transformasi dengan beralih sebagai bandar pelancongan jika ingin meningkatkan ekonomi domestik, sekali gus mengubah imej sebagai bandar pencen.

 

Situasi ini menimbulkan kesan domino berikutan kurangnya peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi menyebabkan anak-anak muda terpaksa berhijrah ke negeri lain.

 

Ipoh yang pernah dikenali sebagai salah satu hab industri perlombongan bijih timah terkemuka di dunia sebenarnya memiliki kelebihan yang tidak diteroka sepenuhnya.

 

Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris,(UPSI), Profesor Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, lima pendekatan boleh diambil untuk memacu sektor pelancongan di Ipoh.

 

Warisan
Bangunan Dewan Bandaran Ipoh tinggalan era kolonial yang mempunyai seni bina menarik.

 

Warisan
Stesen KTM Ipoh merupakan bangunan warisan yang menjadi imej Bandaraya Ipoh.

 

Menurut beliau, langkah pertama ialah melakukan pengembangan sektor pelancongan bersepadu.

 

Katanya, Ipoh boleh mencontohi bandar seperti Barcelona di Sepanyol yang telah berjaya dijenamakan sebagai destinasi pelancongan utama melalui penekanan kepada warisan budaya dan seni bina. 

 

“Ipoh ada kelebihan ini dengan membangunkan kawasan-kawasan bersejarah terutamanya bangunan era kolonial yang memiliki rekabentuk cantik dan bernilai.

 

“Perlu dipromosikan ialah tarikan semula jadi seperti Gua Tempurung dan Gunung Lang yang dapat menarik lebih ramai pelancong,” ujar beliau.

 

Warisan
Tajul Suhaizan.
​​​​​​

 

Kedua, kata Tajul Suhaizan ialah menggalakkan ekopelancongan dan ekopertanian dengan memanfaatkan keindahan semula jadi berasaskan alam sekitar.

 

“Contoh seperti New Zealand yang telah menjadikan ekopelancongan sebagai salah satu tarikan utama dengan aktiviti seperti berjalan kaki di taman negara, ladang organik dan pengalaman memetik buah.

 

“Ketiga ialah program inkubasi usahawan pelancongan. Ini menyediakan dana dan sokongan untuk usahawan tempatan dalam bidang pelancongan melalui inkubator perniagaan. 

 

“Strategi ini berjaya dibuat di Seoul, Korea dengan menubuhkan pusat inkubator yang menyokong permulaan perniagaan dalam pelbagai sektor, termasuk pelancongan,” ujarnya.

 

Tambah Tajul Suhaizan, langkah keempat ialah melalui pemasaran dan promosi digital.

 

Warisan
Ramai yang berkunjung ke Tasik Cermin kerana terpesona dengan keindahan tasik buatan berusia ribuan tahun ini.

 

Warisan
Gua Tempurung walaupun dikenali tetapi tidak dieksploitasi sepenuhnya.

 

“Memanfaatkan platform digital untuk mempromosikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan. 

 

“Contoh yang baik adalah bagaimana bandar Reykjavik, Iceland telah menggunakan media sosial dan kempen digital untuk menarik pelancong dengan memperkenalkan keunikan budaya dan keindahan alamnya.

 

“Langkah seterusnya ialah membangunkan industri pelancongan kesihatan seperti Pulau Pinang.

 

“Ipoh boleh menarik pelaburan dalam sektor pelancongan kesihatan dengan membangunkan hospital bertaraf antarabangsa dan pusat perubatan yang canggih.

 

“Ini dapat memikat pesakit luar negara, sekali gus mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk doktor, ahli farmasi, dan profesional kesihatan lain.

 

Warisan
Ekopelancongan merupakan antara segmen yang perlu diteroka bagi menarik pelancong ke Ipoh.

 

Warisan

 

“Saya melihat perkara ini sedang berlaku apabila sebuah hospital swasta baharu telah dibuka manakala sebuah lagi dalam pembinaan,” ujarnya.

 

Sebelum ini Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin dalam kenyataan menyarankan Ipoh beralih kepada sektor pelancongan sebagai langkah mengatasi kemiskinan bandar.

 

Katanya, kemiskinan bandar di Ipoh mencerminkan situasi yang mana majoriti penduduknya, iaitu 60 peratus, berada pada tahap hidup yang kurang selesa. 

 

Seiring dengan perubahan demografi dan ekonomi, status ini telah mengakibatkan pengurangan dalam pendapatan isi rumah,  - DagangNews.com