UDA peruntuk RM10 juta bantu 1,500 usahawan | DagangNews Skip to main content

UDA peruntuk RM10 juta bantu 1,500 usahawan

UDA Holding

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Insentif RM10 juta diperuntukkan UDA Holdings Berhad (UDA) bagi membantu kira-kira 1,500 usahawan bumiputera yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Jalaluddin Alias berkata, bantuan tersebut diperuntukkan kepada usahawan bumiputera yang terlibat dalam menyewa dan berniaga di premis pusat beli-belah di bawah seliaannya seluruh negara.

"UDA bertanggungjawab membantu usahawan bumiputera khususnya ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Insentif itu merangkumi pengecualian satu bulan sewa kepada penyewa yang menjual barangan tidak perlu, 50% diskaun kepada penyewa yang menjual barangan perlu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya selepas program Korban Perdana UDA 2020 di (UTC) Seremban, lapor Bernama semalam.

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias

 

Pengurangan sewa 20% turut diberikan kepada penyewa selepas tamat tempoh PKP hingga September.

Selain itu juga, tunggakan sewa selama tiga bulan adalah dibenarkan kepada penyewa tetap hingga 30 September 2020.

Jelas beliau, antara pusat beli-belah di bawah seliaan UDA adalah Angsana Mall Johor Bahru, Angsana Mall Ipoh, Angsana Seremban dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur.

"Harapannya menerusi insentif ini ia dapat merangsangkan perniagaan dan ekonomi usahawan yang terlibat," katanya.

Dalam program sama, 50 asnaf miskin dan ahli komuniti turut menerima sekilogram daging korban menerusi UDA Cares- Enriching Life.

Program tersebut juga dijalankan serentak bermula hari pertama Aidiladha hingga semalam di seluruh negara. - DagangNews.com