UDA sampaikan zakat berjumlah RM58,000 kepada 5 rumah kebajikan | DagangNews Skip to main content

UDA sampaikan zakat berjumlah RM58,000 kepada 5 rumah kebajikan

Datuk Ewon Benedick (tengah, duduk) bersama Datuk Sr Mohd. Salem Kailany (belakang, kiri) bergambar bersama anak-anak yatim dan asnaf Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa Uda Holdings Berhad di Boathouse, semalam.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - UDA Holdings Berhad menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM58,000 kepada lima rumah kebajikan sekitar Lembah Klang. 

 

Sumbangan itu diagihkan kepada Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur; Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur; Rumah Permata Hatiku; Rumah Anak Yatim Shifa serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah. 

 

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany sambil disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam Majlis Berbuka Puasa UDA bersama media, semalam.

 

Mohd. Salem berkata, sejumlah RM10,000 disalurkan kepada setiap rumah kebajikan untuk persediaan sempena sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. 

 

Katanya, UDA turut meraikan seramai 40 anak asnaf daripada Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur dengan setiap seorang menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200. 

 

“Semoga sumbangan UDA dapat memberikan makna yang besar buat anak asnaf dan anak yatim serta diharapkan mampu mengukir senyuman serta keceriaan menjelang lebaran tahun ini. 

 

uda
Datuk Ewon Benedick (tengah) menyampaikan sumbangan tunai kepada sebahagian anak-anak yatim dan asnaf Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur sambil diperhatikan Datuk Sr Mohd Salem Kailany (belakang) di Majlis Berbuka Puasa Uda Holdings Berhad di Boathouse, semalam.

 

“Selain itu, sokongan dan kepercayaan oleh rakan-rakan media kepada UDA selama ini juga adalah antara faktor yang menyumbang kelangsungan UDA sehingga ke hari ini," katanya.

 

Sementara itu, Ewon menghargai komitmen dan inisiatif UDA yang membantu komuniti sempena bulan Ramadan dan ia juga merupakan acara tahunan kumpulan itu bagi membantu golongan yang memerlukan. 

 

Pada masa sama, beliau berkata, agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut bersama-sama menyumbang kepada golongan tersebut. 

 

“Sebelum ini, agensi termasuk Bank Rakyat, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Bank juga telah melancarkan program bagi membantu golongan asnaf menjadi usahawan. 

 

“Mereka ini kita bimbing, bantu dan latih daripada sebelum ini sebagai penerima zakat kepada penyumbang zakat selepas ini. Inilah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan agensi di bawah kementerian,” katanya. - DagangNews.com