UDA terbit Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilion, diberi penarafan MARC-1IS/AA-IS | DagangNews Skip to main content

UDA terbit Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilion, diberi penarafan MARC-1IS/AA-IS

Senator Saraswathy Kandasami (tengah) bersama Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad (dua dari kiri), Noor Afifah Abdul Razak (kiri), Datuk Sr Mohd. Salem Kailany (dua dari kanan) dan Ganesh Sabaratnam (kanan) di Majlis Pelancaran Sukuk UDA di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2023.

KUALA LUMPUR 7 Mac – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah UDA menerbitkan Sukuk Wakalah untuk pertama kalinya ini adalah tepat pada masanya memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi yang kini menekankan kepada aspek kelestarian perniagaan.

 

Menurutnya, penerbitan Sukuk Wakalah ini menjadi sejarah penting kerana UDA menjadi organisasi pertama yang menggunakan definisi Pelaburan Mampan Dan Bertanggungjawab (SRI – Sustainable Responsible Investment) untuk projek pembangunan hartanah Wakaf.

 

“Usaha menerbitkan Sukuk Wakalah ini adalah seiring dengan tema, ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang secara spesifiknya merujuk kepada salah satu daripada empat teras strategik utama yang disenaraikan iaitu, ‘Membina Semula Ekonomi.’

 

"Kejayaan menerbitkan Sukuk Wakalah ini akan memastikan kelangsungan atau kemampanan UDA Holdings Berhad untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,” kata beliau.

 

 

UDA

 

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, untuk penerbitan Sukuk Wakalah ini, MARC Ratings Berhad telah memberi penarafan MARC-1IS/AA-IS.

 

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan rekod prestasi membanggakan UDA dalam pembangunan hartanah negara, imbangan tunai yang kukuh hasil daripada pengurusan modal yang berkesan serta sumber pendapatan berulang daripada hartanah yang dilaburkan.

 

“Dana daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan antara lainnya sebagai modal pusingan untuk pembiayaan projek-projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian serta projek wakaf.”

 

“Sealiran dengan perkembangan global yang menitikberatkan faktor kelestarian dalam setiap langkah organisasi, Sukuk Wakalah UDA yang akan diterbitkan ini turut mengguna pakai Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

"Secara khususnya, ia merangkumi Piawaian Bon Hijau ASEAN, Piawaian Bon Sosial ASEAN dan Piawaian Bon Lestari ASEAN. Selain itu, ia juga diselaraskan dengan Prinsip Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial dan Garis Panduan Bon Lestari yang dikeluarkan oleh Persatuan Modal Antarabangsa,” ujar beliau.

 

 

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany
                          Datuk Sr Mohd. Salem Kailany

 


Penggunaan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai asas penerbitan Sukuk Wakalah ini akan menyaksikan UDA memenuhi sembilan Garis Panduan Pembangunan Lestari (SDG) (3-Kesihatan Yang Baik & Kesejahteraan, 5-Kesaksamaan Gender, 6-Air Bersih & Sanitasi, 7-Tenaga Mampu Milik & Bersih, 8-Pekerjaaan Yang Sesuai & Pertumbuhan Ekonomi, 9-Industri, Inovasi & Infrastruktur, 11-Bandar & Komuniti Yang Mampan, 13-Tindakan Iklim dan 17-Kerjasama Demi Matlamat) daripada 17 Matlamat SDG mengikut garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

 

Hasil daripada terbitan Sukuk Wakalah ini juga, Pengurusan Aset Kumpulan UDA akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengaplikasian tenaga solar di bangunan-bangunan yang diselenggara UDA seterusnya memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

 

UDA yang kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 billion yakin sembilan matlamat SDG tersebut akan dicapai berdasarkan pengalaman menjalankan operasi selama lebih 50 tahun dalam sektor pembangunan hartanah serta menjadi perintis dan model terbaik untuk pembangunan tanah wakaf.

 

UDA juga telah berjaya mengembangkan peranannya dengan membangunkan hartanah berbentuk penempatan kediaman selain komersial di kawasan-kawasan bandar. Kejayaan UDA turut diktiraf oleh pelbagai pihak sama ada di dalam dan di luar negara. Pada tahun 2022, UDA telah menerima 16 anugerah di dalam pelbagai aspek perniagaan yang dijalankannya. 

 

Nilai projek-projek pembangunan UDA yang sedang dilaksanakan setakat penghujung bulan September 2022 ialah RM494.8 juta. Selain itu, UDA juga mempunyai rizab tanah seluas 1,014 ekar dengan taksiran harga pasaran bernilai RM2.6 bilion. Statistik yang kukuh ini meletakkan UDA di landasan yang tepat untuk terus menjadi antara peneraju utama di dalam sektor pembangunan hartanah negara.

 

Penasihat Utama Tunggal untuk pelaksanaan program Sukuk Wakalah ini adalah RHB Investment Bank Berhad. UDA Holdings Berhad dan RHB Investment Bank Berhad telah mengadakan satu sesi Taklimat Penganalisis Perniagaan untuk menerangkan mengenai program Sukuk Wakalah ini kepada pelabur yang berminat.

 

Yang turut hadir pada majlis pelancaran ‘Memorandum Maklumat bersempena pelancaran Sukuk UDA di ibu negara hari ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami, KSU KUSKOP, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad; Timbalan KSU KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak dan Ganesh Sabaratnam, Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad (kanan). - DagangNews.com