UEM Sunrise beli tanah Dutch Lady Malaysia bernilai RM200 juta | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise beli tanah Dutch Lady Malaysia bernilai RM200 juta

TARANG GUPTA (kiri) ketika menunjukkan seksyen kilang dan gudang Dutch Lady yang telah beroperasi sejak 1963 kepada Sufian Abdullah (kanan).

 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Salah satu pemaju hartanah terbesar negara, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) telah membeli tiga bidang tanah yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya Selangor.

 

Tanah berukuran 9.93 ekar itu diambil alih pada nilai RM200 juta daripada pemilik asalnya, Dutch Lady Milk Industries Berhad atau Dutch Lady Malaysia menerusi perjanjian jual dan beli (SPA) antara kedua-dua pihak yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan  Dutch Lady Milk Industries, Tarang Gupta.

 

Pada awalnya, tanah berkenaan merupakan pusat operasi kilang dan kemudahan gudang Dutch Lady Milk Industries.

 

Menurut UEM Sunrise, rancangan awal penggunaan tanah itu adalah untuk memfokuskan kepada pembangunan komersial campuran yang akan melengkapkan usaha pembangunan semula yang sedang berjalan bagi seluruh Seksyen 13.

 

Jelas kumpulan syarikat itu, projek berkenaan dijangka dilancarkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya teruja untuk menyediakan perumahan berkualiti tinggi di kawasan itu memandangkan lokasi Petaling Jaya dilengkapi dengan kemudahan akses luas serta gabungan kemudahan dan komponen gaya hidup.

 

“Menjadi rancangan pertumbuhan kami dari awal untuk meningkatkan fokus terhadap tanah utama dan strategik yang boleh dibangunkan dan memberikan hasil cepat.

 

“Yang paling menarik perhatian kami mengenai tanah ini adalah lokasinya dalam Draf Rancangan Khas Seksyen 13 Petaling Jaya dikenal pasti oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk membangunkan semula kawasan tersebut sebagai hab komersial, sebahagian daripada usaha pembaharuan bandarnya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Pengambilalihan itu menandakan projek pertama UEM Sunrise di kawasan Petaling Jaya sekali gus dijangka memperkukuh portfolio kumpulan syarikat di lokasi utama dan kelas atas berikutan kejayaannya di Mont’Kiara, Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri.

 

Seksyen 13, Petaling Jaya hanya terletak beberapa minit dari Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuhraya Sprint-Kerinchi Link, Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Baru Pantai.

 

Pada tahun lalu, kumpulan syarikat juga telah membeli sebidang tanah berukuran 11.45 ekar di Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur.

 

Pembelian tanah itu bertujuan bagi pembangunan 2,400 unit apartment bertingkat dengan GDV kira-kira RM1.1 bilion.

 

Termasuk pengambilalihan tanah di Petaling Jaya itu, jumlah pemilikan tanah yang belum dibangunkan (land bank) oleh UEM Sunrise berukuran 11,092.8 ekar, bernilai RM107.9 bilion dari segi GDV.

 

Setakat 11.41 pagi, nilai saham UEM Sunrise menokok 2 sen kepada 48 sen. - DagangNews.com