UiTM kekal komited capai Aspirasi “Globally Respected, Locally Rooted” | DagangNews Skip to main content

UiTM kekal komited capai Aspirasi “Globally Respected, Locally Rooted”

Oleh Dr. Norliza Che Yahya

TEMA Aspirasi Perancangan Strategik UiTM2025: Globally Renowned University pada tahun 2024 ialah ‘Globally Renowned, Locally Rooted’. 

 

Merujuk pada Amanat Naib Canselor 2024 oleh Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM pada 9 Februari 2024, tema ini diilhamkan dari falsafah yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Wacana Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 5 Januari 2024.

 

Tema ini juga memperlihatkan keutamaan membawa UiTM ke arah menjadi sebuah universiti yang “Gah di Mata Dunia” dan pada masa sama, bertunjangkan identiti atau asal usul dengan berbakti kepada bangsa dan negara.

 

 

Dr. Norliza Che Yahya
             Dr. Norliza Che Yahya

 

 

Tema Pengiktirafan Global berfokus pada 8 Penekanan yang dipikul bersama warga UiTM.

 

Pertama, Pelan Bakat yang merangkumi kepada semua skim meliputi pensyarah, pentadbir (Pengurusan dan Profesional), serta pelaksana agar selari dengan Malaysia Madani khususnya konsep Ihsan.

 

Kedua, Pelan Strategik Akademik yang memerlukan penstrukturan semula bagi meluaskan akses dan pemulihan pantas. Pembangunan akademik akan tertumpu kepada 4 Fokus Utama iaitu Program Akademik; Pengajaran dan Pembelajaran; Pensyarah; serta Pelajar.

 

Ketiga, Pelan Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan berkaitan penjanaan pengetahuan berimpak kepada komuniti dan industri di peringkat tempatan dan global. Pemerkasaan budaya penyelidikan menjadi tunjang dimana modul Pioneering Research Leaders ditambah baik dan kursus penyelidikan asas terus dirancakkan khususnya kepada pensyarah muda. UiTM mensasarkan pada tahun ini, 1 pensyarah, menyertai 1 kumpulan penyelidikan, dan menghasilkan 1 penerbitan (pengarang koresponden/ tunggal/ utama).

 

Penekanan keempat ialah Pelan Penglibatan Komuniti dan Industri melalui pendekatan ‘Quintuple Helix’. Pendekatan berdasarkan Model Lingkaran Lima Sektor atau Quintuple Helix menggunakan gabungan sinergi kerjasama antara empat pihak iaitu UiTM, Industri, Komuniti dan Alumni serta Kerajaan menerusi program kolaborasi berimpak bagi memperkasakan kesejahteraan masyarakat.

 

Penekanan kelima ialah Pelan Pembangunan Strategik Keseluruhan Pelajar. Model Pemerkasaan Graduan UiTM dirangka bagi tujuan melahirkan graduan yang berketerampilan, berdaya saing, memiliki kecerdasan holistik, berilmu, berintelektual, berakhlak, patriotisme, dan mempunyai semangat kesukarelawan.

 

Penekanan yang keenam ialah Pelan Induk ICT dan Infostruktur, kampus pintar, digital dan ‘tanpa kertas’. Jabatan Infostruktur bertanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Strategik Pendigitalan UiTM 2022 - 2025 dan seterusnya 2026 - 2030 selari dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Antara inisiatif yang dirangka ialah inisiatif Kampus Digital UiTM.

 

Penekanan ketujuh adalah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Kampus di seluruh negara agar boleh didiami, hijau dan mampan. Antara aktiviti yang menyokong kepada Inisiatif Hijau dan Keceriaan Kampus, ialah memperluaskan aktiviti di setiap cawangan bagi projek seperti Pusat Kitar Semula, Solar Rooftop, Pembangunan Pelan Induk Reka Bentuk Lanskap dan pemakaian Pelan Induk Reka Bentuk Standard (PIRES) termasuk laluan khas untuk orang kurang upaya (OKU) di kampus yang telah dikenal pasti.

 

Penekanan kelapan, Strategi Kewangan merangkumi penjanaan pendapatan, penjimatan kos serta peranan UiTM Holdings, dan Strategic Business Unit.

 

 

UiTM

 

 

Melihat pada pencapaian semasa selari dengan tema aspirasi, pengiktirafan global yang telah diterima UiTM pada tahun ini adalah melalui:

 

  • QS World University Rankings 2025 – UiTM memperoleh kedudukan ke-587 daripada 1503 institusi yang dinilai tahun ini, meletakkan kedudukannya dalam 39% universiti terbaik di seluruh dunia. Skor penunjuk rangkaian penyelidikan antarabangsa UiTM meningkat daripada 24.3 tahun lepas kepada 68.6 tahun ini.

 

  • QS World University Rankings by Subject 2024 - UiTM disenaraikan untuk 18 subjek merentasi empat bidang utama dalam QS World University Rankings (WUR) by Subject 2024. Ini merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah UiTM berbanding pencapaian tahun lalu dengan 13 subjek merentasi tiga bidang utama.

 

  • QS Asia University Rankings 2024 – UiTM meraih kedudukan berprestij dengan  mencapai kedudukan ke-98 dan tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia.

 

  • THE Impact Rankings 2024 – UiTM mengekalkan kedudukan 101-200 terbaik dunia. Dari lapan Sustainable Development Goals (SDGs), Kesaksamaan Gender (SDG 5) menjadi SDG yang mendapat markah terbaik UiTM dengan mencapai pangkat 46. Ini meletakkan UiTM antara 50 universiti terbaik di seluruh dunia bagi SDG ini.

 

Antara pencapaian lain UiTM adalah dengan menerima:

  • Anugerah pensijilan Energy Management Gold Standard (EMGS).
  • Anugerah Gangsa bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) oleh UiTM Cawangan Sarawak dalam kategori Agensi Utama Sarawak pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam (HPA) 2024.
  • Enam Anugerah di Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023.

 

Manakala, di antara pengiktirafan global yang telah diterima bakat UiTM sehingga Julai 2024 adalah seperti berikut:

  • Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dianugerahkan ‘Top 50 Women in Education’.
     
  • Prof. Ir Dr. Nofri Yenita Dahlan, Pengarah Institut Penyelidikan Suria (SRI), dilantik sebagai Felo Bukan Pemastautin Biro Penyelidikan Asia Kebangsaan (NBR), sebuah institusi penyelidikan bebas yang dihormati di Seattle dan Washington, DC.
     
  • Prof. Madya ChM. Dr. Zainiharyati Md Zain, Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam, dianugerahkan Leaders in Innovation Fellowships Global 2024 oleh Royal Academy of Engineering, UK.

 

 

hikayat

 

 

Diperingkat nasional, pengiktirafan bakat UiTM juga dapat dilihat seperti berikut:

  • Profesor Dr Yamin Yasin, Rektor UiTM Negeri Sembilan, dinobatkan Anugerah Tokoh Agensi Kerajaan 2024.
     
  • Julia Abd Hatim, pelajar cemerlang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Keusahawanan menerima Anugerah Perusahaan Pelajar at Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT 2023).  - DagangNews.com

 

 

Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam