UMediC catat untung bersih RM2.9 juta pada 2QFY23, didorong permintaan tinggi untuk peranti perubatan | DagangNews Skip to main content

UMediC catat untung bersih RM2.9 juta pada 2QFY23, didorong permintaan tinggi untuk peranti perubatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - UMediC Group Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.9 juta dan meraih hasil sebanyak RM12.52 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2023 (2QFY23).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumulatif enam bulan kumpulan itu adalah sebanyak RM23.83 juta dan keuntungan sebelum cukai bagi tempoh itu adalah sebanyak RM5.97 juta.

 

Katanya, hasil dan keuntungan itu disumbangkan segmen pemasaran dan pengedaran serta pembuatan.

 

Peningkatan itu, katanya, disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk peranti perubatan dan bahan pakai buang daripada hospital awam dan swasta serta penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

"Peningkatan dalam hasil kumpulan juga disumbangkan peningkatan dalam penjualan bahan guna perubatan keluarannya, iaitu pelembap pra-isi siri HydroX dan penyedut penyedut siri AirdroX, dengan kadar pertukaran asing yang lebih baik untuk hasil luar negara.

 

"Tiada angka perbandingan untuk suku yang sama sebelumnya kerana ini adalah penyata kewangan interim yang disediakan bagi memenuhi keperluan penyenaraian," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk Malaysia akan meningkatkan lagi permintaan untuk peranti perubatan serta keperluan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan apabila lebih ramai orang mendapatkan rawatan perubatan.

 

Katanya, sempadan Malaysia telah dibuka semula sejak 1 April 2022 dan pelancongan penjagaan kesihatan akan kembali dan membawa kepada peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

"Kumpulan itu  akan terus memberi tumpuan kepada aktiviti pengembangan pasarannya bagi mengembangkan lagi perniagaannya termasuk pembinaan kilang baharu di Batu Kawan bagi meningkatkan jualan dengan meningkatkan tahap inventori pengedaran.

 

"Selain itu, kumpulan itu akan membangunkan saluran pengedaran jenama baharu dengan terus mencari pembekal/pengetua lain sebagai usaha untuk mengembangkan penawaran jenama dan produk baharu," katanya. - DagangNews.com