Kilang UMW Toyota berharga RM2 bilion di Bukit Raja, Klang merupakan kilang paling moden dan termaju serta cekap seumpamanya di Asia.
SHAH ALAM 6 Julai - UMW Toyota Motor mengumumkan rancangan untuk melaburkan RM270 juta lagi di Malaysia untuk memperluaskan operasi dan kemudahan pengeluaran sedia ada, termasuk pengenalan generasi kenderaan teknologi termaju bagi HEV.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, pihaknya bersedia dengan pengenalan barisan kenderaan HEV) dan teknologi berkaitan; sokongan servis, prasarana semasa; dasar global dan domestik; tahap mampu milik dan keberkesanan kos; serta kesedaran serta permintaan pelanggan, terutamanya di Malaysia, yang kini berada di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baru yang menarik ke arah mencapai neutraliti karbon ini.
Katanya, HEV Toyota sedang berada di tahap paling maju ketika ini, dan mempersembahkan dirinya sebagai penyelesaian paling realistik, segera, ekonomikal dan praktikal bagi pengeluaran pasaran dan jualan massa dari segi pengurangan pembebasan CO2, kemudahan penggunaan dan penerima harga oleh pelanggan.
Tambahan pula ujar beliau, kajian telah menunjukkan bahawa pengurangan pembebasan CO2 antara kenderaan hibrid penuh dan HEV adalah hampir sama, mengambil kira sumber elektrik serta aspek yang bermula dari pengeluaran hinggalah kepada pemilikannya.
"Bagi pembeli di Malaysia, pengeluaran tempatan HEV Toyota akan diterjemahkan ke dalam peralihan era baru permotoran, yang menyediakan capaian kepada teknologi terkini dan paling inovatif, pada tahap harga praktikal dan berpatutan kepada khalayak yang lebih meluas.
"HEV merupakan jambatan penting untuk mencapai tahap kenderaan elektrik sepenuhnya. Setakat ini, teknologi bateri-elektrik masih memerlukan masa untuk pembangunan teknologi penuh, menjadikan teknologi hibrid elektrik pilihan paling sesuai untuk pelaksanaan segera.
"Dengan masa masih diperlukan untuk elektrifikasi penuh, teknologi HEV sudah bersedia ketika ini
dan prasarana sedia ada juga membolehkannya untuk digerakkan dalam skala yang lebih besar,"
jelas beliau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan beliau yang mengumumkan arah tuju UMW Toyota Motor (UMWT) yang kini sudah 52 tahun beroperasi di Malaysia dan kini diselaraskan dengan perancangan penting untuk masa depan industri automatif di negara, dengan cara menjadi pelopor bagi usaha
neutraliti karbon bagi merintis jalan terhadap pengeluaran kenderaan hibrid elektrik (HEV) secara besar-besaran.
VISI GLOBAL, USAHA MALAYSIA
Usaha ini dipacu oleh komitmen Toyota Motor Corporation (TMC) untuk membawakan "mobiliti untuk semua" serta melahirkan "kegembiraan untuk semua" ke arah membentuk "Masyarakat Bersih dan Selamat".
Untuk menjadikannya kenyataan, TMC telah memberikan komitmen untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, melalui kaedah praktikal dan mapan. Turut menjadi sebahagian daripada perancangannya adalah untuk mengeluarkan barisan lengkap kenderaan mengeluar asap rendah melalui pelan kenderaan elektrik.
Ini akan memenuhi kepelbagaian permintaan mobiliti di seluruh dunia. Selain daripada kenderaan elektrik, ada banyak lagi usaha lain yang sedang dalam perancangan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan untuk mengatasi kesan pelepasan karbon dioksida (CO2) di dalam semua proses yang terlibat dalam kitaran pengeluaran, pengangkutan, operasi, bahan api atau pengecasan serta kitar semula bahkan pelupusan kenderaan — yang selari dengan pendekatan global dan kesan terhadap alam sekitar di sepanjang kitar hayat produknya.
Takeyama berkata, arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050. Ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan.
"Ini merupakan waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia, dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini. Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota," tambahnya.
"Pengeluaran besar-besaran dan penerimaan yang semakin berkembang terhadap kenderaan hibrid elektrik (HEV) akan membawa kepada perubahan eko-sistem keseluruhan automotif untuk memupuk kesedaran bersama dan bergerak ke arah mengurangkan jejak karbon di Malaysia.
"Arah tuju Toyota selari dengan pendekatan penilaian kitaran hayat antarabangsa bagi neutraliti karbon yang akan mengubah industri sepenuhnya, bermula dari kenderaan dikilangkan hinggalah kepada pemilikan kenderaan, bahkan hingga ke akhir kitaran hayat sesebuah kenderaan," tambah beliau.
KENDERAAN HIBRID ELEKTRIK (HEV) AKAN SEGERA PACU MASA DEPAN
Toyota merupakan pelopor utama teknologi kenderaan hibrid elektrik dan telah memajukan lagi
teknologi berkenaan dalam tempoh 20 tahun terakhir ini.
Setakat hari ini, Toyota telah menjual sebanyak 17 juta kenderaan hibrid elektrik (HEV); kenderaan hibrid elektrik plug-in (PHEV), kenderaan bateri-elektrik (BEV) serta kenderaan elektrik fuel-cell hidrogen (FCEV) di seluruh dunia.
Sumbangan terkumpul Toyota untuk pengurangan CO2 adalah bersamaan dengan 17 juta kenderaan yang telah membawa kepada pengurangan 140 juta CO2 atau sekitar 1.5 juta kenderaan penumpang konvensioanal setahun bagi tempoh 20 tahun.
Langkah penuh kesedaran untuk beralih kepada alternatif yang lebih bersih, lebih cekap serta mapan ini dijangka akan diterjemahkan kepada jualan lapan juta kenderaan elektrifikasi Toyota setahun menjelang 2030.
Pada April lalu, Toyota mengumumkan strategi kenderaan elektrik yang akan membawa kepada pengenalan 15 kenderaan bateri-elektrik (BEV) menjelang 2025, termasuk kenderaan yang dikuasakan oleh fuel-cell hidrogen elektrik, bateri-elektrik dan hibrid elektrik, ke arah menawarkan kepelbagaian pilihan kepada pelanggan.
Pelaburan berterusan Toyota terhadap empat teknologi kenderaan hibrid; hibrid elektrik plug-in, bateri-elektrik dan fuel cell hidrogen meletakkannya sebagai sebuah pengeluar kenderaan global dengan kepelbagaian. Syarikat ini mempunyai keupayaan untuk mengalihkan pembangunan kenderaannya ke arah penyelesaian yang lebih mapan—dengan eko-sistem, teknologi dan prasarana berdaya maju, cekap kos dan diterima secara meluas.
RAKAN YANG DIPERCAYAI SEKIAN LAMA UNTUK MASA DEPAN MAPAN DAN HIJAU
Dengan matlamat untuk menjadi pelopor usaha neutraliti karbon di Malaysia, pelaburan baru
UMW Toyota Motor ini adalah tambahan kepada pelaburan terdahulu bernilai RM2 bilion yang
digunakan untuk pembinaan kilang di Bukit Raja, Klang.
Dianggap sebagai sebuah kilang Toyota paling moden dan termaju serta cekap di Asia, kemudahan di Bukit Raja menjadi pendahulu selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).
Jejak sekitar kilang berkenaan termasuk pemasangan panel solar 2MW serta kemampuannya untuk mengumpul dan mengitar semula 156 kubik meter air hujan. Ia juga mendahului dengan menampilkan pembebasan terendah bagi sebatian oraganik meruap (Volatile Oraganik Compound) di Asia dengan pemasangan pengoksida suhu regeneratif (Regenerative Thermal Oxidiser).
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, sebagai pengeluar, langkah segera yang boleh kami ambil untuk menghindarkan pemanasan global adalah untuk mencari pendekatan terbaik bagi proses pengilangan dan pengeluaran kenderaan Toyota.
Tetapi ujar beliau, usaha berkenaan tidak boleh berhenti di situ sahaja. Ia memerlukan perubahan kesedaran dalam minda masyarakat, mendidik orang muda terhadap kepentingan untuk melindungi alam sekitar serta melibatkan penyertaan aktif semua pihak berkepentingan.
Menurutnya, kepentingan kedua-dua Toyota serta UMW Toyota Motor telah melangkaui dunia automotif semata-mata untuk mengendalikan kesan pembebasan CO2 ini.
UMW Toyota Motor terus menjadi peneraju utama pelbagai pelan tindakan alam sekitar. Pada Januari tahun ini, syarikat telah menganjurkan edisi ke-20 program Toyota Eco Youth (TEY), sebuah usaha yang dimulakan sejak 20 tahun lalu, dan telah menjadi sebuah program penting untuk memupuk kesedaran terhadap alam sekitar dan inovasi dalam kalangan belia di seluruh negara melibatkan pelajar-pelajar sekolah, sekolah menengah dan guru.
"Matlamat akhirnya bukanlah hanya disandarkan kepada kenderaan dengan elektrifikasi, tetapi untuk mencapai neutraliti karbon dan sifar pembebasannya dari segenap aspek, dari menghasilkan kenderaan yang lebih bersih untuk berada di atas jalan dan menanggapi proses pengeluaran, hinggalah kepada membantu mencipta kesedaran yang lebih meluas terhadap perlindungan alam sekitar," tambah beliau.
SELARI DENGAN ASPIRASI MALAYSIA
UMW Toyota Motor juga mengakui dan sangat berterima kasih kepada kerajaan di dalam peranan
utama yang dimainkan untuk memberi sokongan ke arah pertumbuhan industri automotif,
bertujuan meletakkan Malayasia sebagai pendahulu di dalam kemajuan automotif bagi
memastikan kemapanan pembangunan industri automotif tempatan.
"Kami berada dalam posisi ideal untuk memacu cita-cita ini ke depan dan menjadikannya
kenyataan, dan menjadi harapan kami bahawa kerajaan akan memahami serta menyokong usaha
bagi merancakkan pengeluaran massa tempatan bagi HEV sebagai sebuah langkah penting ke
arah kemajuan elektrifikasi yang lebih meluas," jelas Ravindran K.
"Pandemik Covid-19 menjadikan situasi sangat mencabar bagi kami. Bagaimanapun, langkahlangkah yang diambil oleh kerajaan telah berhasil mengembali dan mengukuhkan keyakinan pelanggan dan kuasa membeli yang menjadi pemangkin industri automotif. Ini sekaligus menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pembangunan industri automotif di Malaysia.
"Pengenalan teknologi hibrid elektrik akan dengan segera mengubah landskap automotif di Malaysia, untuk warganya. Kami berharap bahawa usaha untuk mempopularkan teknologi masa depan ini melalui pengenalan massa HEV akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan dalam usaha untuk mencapai skala penuh penggunaan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi.
"Kami berharap kerajaan akan turut mempertimbangkan usaha UMW Toyota Motor untuk disertakan ke dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon Nasional beserta kenderaan bateri-elektriknya yang selari dengan perancangan kerajaan," tambah beliau. - DagangNews.com