Unit Yinson peroleh bon AS$500 juta dalam pasaran Nordic | DagangNews Skip to main content

Unit Yinson peroleh bon AS$500 juta dalam pasaran Nordic

Oleh M. HERMAN HAMID

 KUALA LUMPUR 19 April - Yinson Production Offshore Pte Ltd (Yinson Production) menerusi anak syarikatnya, Yinson Production Financial Services Pte Ltd  berjaya memperoleh penempatan terbitan bon bercagar bernilai AS$500 juta (RM2.39 bilion) dalam pasaran bon Nordic.

 

Yinson Production merupakan pemilik serta pengendali kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), 

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Yinson Holdings Berhad berkata, terbitan bon itu dengan tempoh lima tahun dan kupon tetap 9.625 peratus setahun.

 

"Hasil daripada terbitan bon akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman korporat sedia ada Yinson Production dan untuk tujuan korporat am. 

 

"Permohonan akan dibuat untuk bon itu disenaraikan di Oslo Børs dalam masa terdekat," katanya hari ini.

 

Yinson Production ialah anak syarikat milik penuh tidak langsung Yinson Holdings Berhad.

 

DNB Markets dan Pareto Securities bertindak sebagai pengumpul buku bersama dan ABG Sundal Collier bertindak sebagai pengurus utama bersama berkaitan dengan terbitan bon.

 

Sementara itu menerusi satu kenyataan media, Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata, terbitan bon sulung ini telah berjaya meluaskan lagi asas pembiayaan syarikat.

 

"Terbitan bon mendapat minat yang ketara daripada komuniti pelabur dan telah terlebih langganan dengan ketara.

 

"Ini mencerminkan cadangan pelaburan menarik yang disokong oleh kontrak jangka panjang kami dan aliran tunai yang sangat ketara serta persekitaran pasaran FPSO yang menarik," katanya.

 

Beliau berkata, minat yang ketara ini menunjukkan bon ini telah diterima baik dan kejayaan itu menandakan kemunculan syarikat dalam pasaran modal antarabangsa.- DagangNews.com