KUALA LUMPUR 1 Ogos – Universiti IMU (dahulunya dikenali sebagai International Medical University) mengumumkan pelantikan Naib Canselor baharu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Ahli Akademik Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail, FASc. yang membawa banyak pengalaman dari pelbagai institusi terkemuka dan memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, sains dan penjagaan kesihatan.
Dr Asma merupakan pendukung bidang sains yang berdedikasi dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Akademi Sains Malaysia; Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan terkini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara untuk Malaysia.
Dalam kenyataan media hari ini, IMU menyifatkan pelantikan Dr Asma adalah tepat pada waktunya untuk universiti ini mula memberi tafsiran lebih meluas mengenai pendidikan penjagaan kesihatan yang holistik, sejajar dengan pendekatan ‘One Health’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut merangkumi program kesihatan haiwan dan alam sekitar, perniagaan, komunikasi dan teknologi.
Dr Asma berkata, beliau berazam memberi impak yang bermakna sepanjang perkhidmatannya di Universiti IMU.
"Matlamat saya adalah untuk membawa universiti yang mantap dan dihormati ini ke tahap seterusnya. Saya mahu menjadikan IMU sebagai universiti pilihan, baik di dalam mahupun di luar negara, untuk pendidikan penjagaan kesihatan melalui komitmen terhadap kualiti dan kecemerlangan yang sentiasa diperbaharui, di samping memberikan pelajar kita pengalaman berharga global yang sebenar dan penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Prof Dr Abdul Aziz Baba, yang memulakan perjalanan kerjayanya di Universiti IMU pada Julai 2013.
Selama lebih satu dekad, Prof Dr Abdul Aziz yang pada awalnya berkhidmat sebagai Profesor Perubatan, diberi kepercayaan melaksanakan tugas Naib Presiden sebelum menyandang jawatan Naib Canselor dan CEO IMU Education pada 2016.
Kepimpinan dan kemahiran Prof Emerita Datuk Dr Asma akan membantu Universiti IMU mempertingkatkan misi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan selaras dengan usaha universiti itu yang sentiasa merangka laluan yang lebih inklusif terhadap kepelbagaian dan kedinamikan hubungan antara manusia dan planet.
Dr Asma merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Bahkan beliau juga mencatat sejarah apabila diangkat sebagai wanita Malaysia pertama yang menggalas tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Presiden Akademi Sains Malaysia, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Penasihat Sains Perdana Menteri dan negara.
Dihormati oleh ahli akademik seluruh dunia, beliau juga menjadi ahli lantikan beberapa badan antarabangsa termasuklah Lembaga Gabenor untuk Komanwel Pembelajaran (COL) yang berpangkalan di Vancouver, Kanada dan sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pentadbiran untuk Universiti Ritsumeikan Asia Pasifik, Jepun.
Pada tahun 2023, nama beliau tersenarai dalam Forbes Asia ‘Top 50 over 50’ (50 wanita berpengaruh berusia 50 tahun ke atas) dari Asia Pasifik yang mencapai tahap baharu dalam memberi sumbangan kepada bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Dalam kecemerlangan kerjayanya, beliau memulakan banyak penemuan saintifik yang membawa kepada pencapaian 16 paten yang telah dikomersialkan ke seluruh dunia, termasuklah TyphidotTM, iaitu kit diagnostik pantas untuk demam kepialu (tifoid) yang diiktiraf oleh WHO.
Bahkan beliau juga menerima lebih daripada 270 anugerah dan penghargaan atas pencapaiannya di peringkat nasional dan antarabangsa, di mana lebih 100 dikaitkan dengan pembangunan dan pengkomersialan TyphidotTM. Kini, beliau terbabit dalam penulisan semula Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035, dan menjadi ahli Panel Penasihat Pendidikan Tinggi untuk kemampanan kewangan universiti-universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. - DagangNews.com