KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research meragui cita-cita Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) terhadap sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) bagi FY23 sebanyak 12% selepas mengambil kira unjuran margin faedah bersih (NIM) yang rendah.
Firma itu berkata, bank itu mungkin bergantung kepada pemulihan pendapatan yuran dan pemulihan keuntungan semula yang besar (memandangkan kualiti asetnya yang kukuh) bagi memberikan peningkatan kepada pendapatan mereka.
"Penilaian kumpulan yang rendah berikutan prestasi yang lemah pada bulan-bulan sebelumnya membuatkan dasar pemberian dividennya perlu dilihat semula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih bank itu susut 8% kepada RM491.67 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) apabila perbelanjaan cukainya melonjak 53.2% kepada RM241.51 juta disebabkan oleh Cukai Makmur.
Keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT), bagaimanapun, meningkat 6.1% kepada RM746.87 juta, disumbangkan oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan elaun bersih yang lebih rendah untuk rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan.
Hasil juga melonjak 12.9% kepada RM3.58 bilion bagi tahun itu, manakala pendapatan bersih meningkat 5.5% kepada RM2.31 bilion.
Firma itu berkata, bank itu juga melihat kepada pemulihan pendapatan yuran untuk mencapai sasaran nisbah kos pendapatan (CIR) FY23 sebanyak 55%.
Mereka juga mengekalkan unjuran terhadap bank itu tetapi membuat perubahan unjuran terhadap pembayaran dividen daripada 50% kepada 60%.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM2.99 berbanding RM3.01 sesaham sebelum ini. - DagangNews.com