Unjuran pertumbuhan pinjaman RHB Bank masih utuh - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Unjuran pertumbuhan pinjaman RHB Bank masih utuh - Kenanga

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Sasaran pertumbuhan pinjaman RHB Bank sekitar 4 hingga 5% buat masa ini dilihat masih kekal utuh, menurut Kenanga Investment Bank (IB) Research. 

 

Penganalisisnya, Clement Chua berkata, pertumbuhan ini disokong permintaan bagi pinjaman perumahan dan pembiayaan kenderaan, meskipun segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semakin berkurangan dengan mengambil kira situasi semasa.

 

"Bagaimanapun, pembukaan semula ekonomi akan membantu merangsang prestasi akhir tahun yang lebih baik terutama apabila kadar vaksinasi semakin meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baru-baru ini, Kenanga menganjurkan mesyuarat dengan Ketua Pegawai Kewangan RHB Bank, Nik Rizal Kamil untuk mendapatkan perkembangan jelas mengenai prospek kumpulan.

 

Memandangkan pelaksanaan moratorium secara opt-in masih di peringkat awal, pengurusan tidak dapat memberi panduan mengenai kadar pengambilan ini. 

 

"Sebaliknya, pengurusan yakin, ia lebih rendah berbanding tahun lalu yang menawarkan moratorium automatik secara menyeluruh," tambahnya. 

 

Menurut Clement, terdapat kemungkinan kerugian pengubahsuaian berjumlah RM418 juta bagi tahun kewangan 2020 tidak berulang lagi, apabila penutupan dagangan dapat direalisasikan sekitar RM50 hingga RM70 juta tahun ini dengan mengambil kira kadar pengambilan yang tidak lagi agresif. 

 

"Segmen B40 hanya merangkumi 21% daripada jumlah pinjaman runcit, yang dilihat tidak terlalu merugikan jika permohonan penuh dibuat," jelasnya.

 

Pada masa sama, beliau berkata, penglibatan RHB Bank bersama Boost yang memohon lesen bank digital dari Bank Negara Malaysia (BNM) membolehkannya memasuki segmen yang kurang diberi tumpuan oleh sektor perbankan. 

 

BNM akan membuat keputusan berhubung pemberian lesen bank digital ini pada suku pertama 2022.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' bagi saham RHB Bank dengan harga sasaran RM6.15. - DagangNews.com