Untung bersih 4QFY22 Cape EMS melonjak 41.2% kepada RM8.93 juta didorong hasil yang tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 4QFY22 Cape EMS melonjak 41.2% kepada RM8.93 juta didorong hasil yang tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Untung bersih Cape EMS Berhad melonjak 41.26% kepada RM8.93 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM6.36 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

Pada masa sama, kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17.3% daripada RM100.7 juta kepada RM118.2 juta.

 

Prestasi kewangan yang bertambah baik itu didorong jualan yang lebih tinggi daripada peralatan komunikasi tanpa wayar dan rokok elektronik, selain campuran produk yang menggalakkan hasil daripada jualan yang lebih tinggi bagi produk margin yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), untung bersih kumpulan itu melonjak 27.7% kepada RM33.5 juta berbanding RM26.2 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ia disokong oleh pertumbuhan hasil sebanyak 27.2% daripada RM344.3 juta pada FY21 kepada RM438 juta pada FY22.

 

Pengarah Urusan  dan Ketua Pegawai Eksekutif  kumpulan, Christina Tee Kim Chin berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan keputusan kewangan pada FY22 sebelum disenaraikan pada Mac ini.

 

"Pada ketika ini, kami masih mengalami aliran pesanan yang kukuh daripada pelanggan kami dan akan terus memantau perkembangan pasaran EMS terkini sambil meningkatkan kecekapan dan daya saing untuk kekal relevan dalam pasaran bagi jangka panjang.

 

"Bagaimanapun, kami kekal optimis terhadap perniagaan kami dengan tekanan makroekonomi global yang menjejaskan pasaran global seperti kenaikan kadar faedah, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China yang berterusan, kekurangan komponen semikonduktor global dan beberapa perkar alagi," katanya. - DagangNews.com