Untung bersih Ajiya bagi 3QFY22 melonjak 171.08% kepada RM4.05 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ajiya bagi 3QFY22 melonjak 171.08% kepada RM4.05 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - Untung berish Ajiya Berhad untuk suku ketiga berakhir 31 Ogos 2022 (3QFY22) melonjak 171.08% kepada RM4.05 juta berbanding RM1.49 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lonjakan keuntungan itu disokong oleh peningkatan sumbangan hasil daripada kilang tempatannya.

 

Pendapatan sesaham kumpulan itu juga meningkat 1.41 sen daripada 51 sen. 

 

"Hasil suku tahunan meningkat tiga kali ganda atau 202.98% lebih tinggi, kepada RM72.8 juta daripada RM24.03 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu, berikutan penutupan penuh di seluruh negara yang diumumkan pada Jun tahun lepas," katanya.

 

Ajiya yang terlibat dalam pembuatan bahan binaan untuk industri pembinaan, melaporkan pendapatan RM70.9 juta untuk 3QFY22 daripada kilang tempatannya, lebih tiga kali ganda berbanding RM22.63 juta pada tahun lalu.

 

Untuk sembilan bulan pertama FY22, untung bersih Ajiya meningkat 43.17% kepada RM19.58 juta daripada RM13.68 juta, apabila hasil meningkat 23.29% kepada RM219.88 juta daripada RM178.35 juta.

 

"Melangkah ke hadapan, Ajiya menyatakan ia akan meneruskan usahanya dalam menjadikan operasinya lebih cekap dan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan kos operasi selain meningkatkan pendapatannya untuk pertumbuhan jangka panjang," katanya.

 

Pada waktu rehat tengah hari 28 Oktober 2022, harga saham Ajiya naik tiga sen atau 2.42% lebih tinggi pada RM1.27, menjadikan permodalan pasaran kumpulan sebanyak RM362.9 juta. 

 

Sehingga kini saham kumpulan itu telah meningkat 13.39%. - DagangNews.com