KUALA LUMPUR 28 Feb - Alliance Bank Malaysia Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM547.7 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022 (9MFY23) iaitu peningkatan sebanyak 16.6% dari tahun ke tahun.
Hasil bagi tempoh berkenaan juga meningkat 2.5% kepada RM1.45 bilion didorong peningkatan pendapatan faedah bersih sebanyak 12.4% kepada RM1.25 bilion dan margin faedah bersih meningkat 15 mata asas (bps) kepada 2.68% sejak Mac 2022.
Pendapatan yuran berasaskan pelanggan (tidak termasuk pembrokeran) meningkat 2.5% kepada RM211.9 juta, didorong oleh pengurusan kekayaan yang lebih tinggi, jualan tukaran asing dan yuran perdagangan manakala nisbah kos kepada pendapatan ialah 44.1%.
Pinjaman keseluruhan meningkat sebanyak 6.2% dengan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Perbankan Pengguna masing-masing meningkat sebanyak 12.9% dan 3.5% manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kekal antara tertinggi dalam industri sebanyak 45.8%.
Kos kredit bersih bank bagi tempoh itu bertambah baik sebanyak 12.5 mata asas kepada 20 mata asas manakala pinjaman dibawah pelepasan berkurangan kepada RM1.35 bilion, mewakili 2.9% daripada jumlah pinjaman.
Pelancaran strategi baharu Bank Acceler8 pada Januari tahun ini, bank itu menyasarkan segmen pasaran baharu, memacu pengembangan dalam koridor ekonomi utama, memperjuangkan kemampanan serta mengejar sinergi dan penciptaan nilai melalui inovasi dan perkongsian digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kelle Kam berkata, Acceler8 akan meluaskan pertumbuhan melangkaui segmen PKS, membina kelebihan daya saing dan memacu pertumbuhan mampan jangka panjang.
"Formula kami untuk berjaya dalam segmen PKS kini akan dibawa ke dalam segmen, sektor dan ekosistem lain yang menarik," katanya.
Beliau berkata, antara keutamaan baharu menerusi Acceler8 adalah untuk memacu pemerolehan lebih tinggi dalam segmen pengguna seperti profesional muda dan pelanggan bernilai tinggi termasuk mempercepatkan pertumbuhan gadai janji bank.
Katanya, bank menyasarkan untuk mengembangkan pinjaman penggunanya melebihi kadar pertumbuhan industri.
“Kami mahu cawangan kami menjadi tumpuan dalam komuniti. Contohnya, melalui inisiatif #SupportLokal kami, kami bekerjasama dengan peniaga dan pelanggan bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka melalui promosi bersama
"Ini merupakan pengembangan daripada apa yang telah kami lakukan sejak tiga tahun lalu sejak pandemik untuk membantu perniagaan tempatan mengembangkan pangkalan pelanggan mereka," katanya. - DagangNews.com