Untung bersih Bank Pembangunan susut 57% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bank Pembangunan susut 57%

KUALA LUMPUR 30 Jun - Keuntungan bersih Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di peringkat kumpulan susut 57% kepada RM107.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 daripada RM251.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Menurut bank itu, ia disebabkan peruntukan yang lebih besar untuk  susut nilai terhadap pinjaman, pembiayaan dan pendahuluan meningkat tujuh kali ganda. Di peringkat bank, keuntungan bersih jatuh 68% tahun ke tahun kepada RM100.8 juta.

 

Kebanyakan  peruntukan itu adalah untuk sektor pembinaan dan industri hotel dalam portfolio pembiayaan kumpulan BPMB, menyumbang hampir 75% daripada jumlah elaun susut nilai untuk tahun 2020.

 

Bagaimanapun, nisbah susut nilai kewangan (GIF) menunjukkan peningkatan yang ketara kepada 11.3% pada tahun 2020 berbanding dengan 12.2% pada 2019 disebabkan oleh asas pembiayaan yang lebih besar akibat pertumbuhan dalam portfolio pembiayaan.

 

"Meskipun mengalami wakjtu yang mencabar susulan daripada penularan pandemik secara global yang berpanjangan, BPMB telah mencapai pertumbuhan portfolio pembiayaan 2.54% untuk tahun ini, meningkatkan saiz portfolio kasar kepada RM18.5 bilion, mencatatkan pertumbuhan pertama sejak tahun 2016.

 

"Kebanyakannya disebabkan oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada pembiayaan baharu dan sedia ada," katanya, lapor Bernama.

 

Melangkah ke hadapan, Pengerusinya Datuk Seri Nazir Razak berkata, BPMB akan maju ke hadapan untuk membantu kerajaan ketika mengembangkan peranannya untuk mengurangkan kesan COVID-19 terhadap ekonomi dan masyarakat.

 

nazir razak
Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd. Datuk Seri Nazir Razak

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Arshad Mohamed Ismail berkata BPMB akan terus menyokong kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi menerusi pelbagai produk dan penyelesaian pembiayaan dengan penekanan diberikan kepada digitalisasi, inklusif dan kemampanan.

 

"Kami menyedari bahawa  BPMB mempunyai peranan  dalam  memastikan  golongan rentan  dapat  meneruskan kelangsungan hidup dalam beberapa tahun akan datang dan bersedia untuk perubahan ekonomi dan memacu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya. - DagangNews.com