Untung bersih Bursa Malaysia pada 1HFY24 meningkat 17.4% kepada RM155.5 juta dipacu hasil dagangan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia pada 1HFY24 meningkat 17.4% kepada RM155.5 juta dipacu hasil dagangan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat sebanyak 17.4% kepada RM155.5 juta berbanding RM132.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu dipacu hasil dagangan yang lebih tinggi.

 

Peningkatan untung bersih itu disebabkan oleh peningkatan 29.3% dalam hasil operasi kepada RM374.5 juta pada 1HFY24 berbanding RM289.6 juta pada 1HFY23.

 

Bagi 1HFY24 dalam tinjauan, pasaran sekuriti mencapai hasil dagangan yang kukuh sebanyak RM192.2 juta, menandakan peningkatan 52.6% daripada RM126 juta pada tahun lalu.

 

Pertumbuhan besar ini didorong oleh purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih tinggi untuk dagangan dalam pasaran (OMT) pasaran sekuriti dan dagangan perniagaan langsung (DBT) pada 1HFY24, yang meningkat kepada RM3.5 bilion daripada RM2.1 bilion pada 1HFY2023.

 

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim yang lebih tinggi sebanyak 18 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berjumlah lebih kurang RM145.7 juta, mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 93.7%.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya gembira dengan prestasi kukuh Bursa Malaysia bagi 1HFY24 hasil daripada kecairan yang lebih baik dan sentimen pasaran di sebalik keyakinan yang meningkat dalam kemajuan serta rancangan ekonomi Malaysia.

 

Beliau berkata, anggaran terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mencadangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mungkin berkembang sebanyak 5.8% pada suku kedua tahun ini, menunjukkan pertumbuhan yang lebih tinggi dan minat pelabur global yang diperbaharui dalam usaha pembaharuan berterusan negara.

 

"Minat ini boleh mempengaruhi momentum pasaran secara positif dan merangsang aktiviti pasaran modal.

 

"Dengan keadaan ekonomi Malaysia dijangka kekal menggalakkan, kami optimis keputusan kukuh akan dapat dilihat dalam prestasi Bursa Malaysia untuk separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, walaupun berdepan cabaran makroekonomi luaran yang berterusan, pasaran modal Malaysia menyaksikan prestasi kukuh pada separuh pertama 2024, ditandai dengan beberapa rekod tertinggi.

 

Beliau berkata, ini termasuk melepasi rekod permodalan pasaran yang tinggi sebanyak RM2 trilion dan FBM KLCI melepasi paras 1,600 mata dan mencecah paras tertinggi dalam tiga tahun, kedua-duanya dicapai pada Mei 2024.

 

"Dagangan dalam pasaran sekuriti kekal aktif, menyumbang dengan ketara kepada prestasi Bursa Malaysia.

 

"Berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan sentimen pasaran yang bertambah baik, kami optimis momentum positif ini dapat dikekalkan. Kami komited untuk meningkatkan daya tarikan Bursa Malaysia untuk mencipta nilai bagi pemegang kepentingan kami, sambil memacu pertumbuhan ekonomi," katanya. - DagangNews.com