Untung bersih Cape EMS susut 39.6% kepada RM9.2 juta pada 2QFY24 kesan pelbagai kos tambahan, pengukuhan nilai ringgit | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Cape EMS susut 39.6% kepada RM9.2 juta pada 2QFY24 kesan pelbagai kos tambahan, pengukuhan nilai ringgit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Untung bersih Cape EMS Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut 39.6% kepada RM9.2 juta berbanding RM15.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan pelbagai kos tambahan serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Kumpulan itu berkata, penyusutan itu disebabkan peningkatan perbelanjaan pengangkutan akibat kesesakan di pelabuhan, kos tambahan bagi barisan pembuatan pek bateri, kos pemasangan untuk sistem penyejukan bagi penjimatan tenaga dan peruntukan selaras dengan amalan perakaunan berhemat.

 

Katanya, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun melonjak sebanyak 36.8% kepada RM166.6 juta berbanding RM121.8 juta pada tahun sebelumnya dipacu sumbangan lebih baik daripada kedua-dua produk elektronik perindustrian dan pengguna di bawah segmen pembuatan elektronik bersepadu (EMS) seperti peralatan komunikasi tanpa wayar, rokok elektronik, kenderaan elektrik ringan dan anak syarikat yang baru diambil alih, iConn Inc.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu mengendalikan tiga rangkaian peralatan teknologi pelekap permukaan (SMT) tetapi disebabkan permintaan yang tinggi dan kapasiti terhad, kumpulan telah menyumber luar secara strategik beberapa pengeluaran kepada pengeluar tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2024 (6MFY24), kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM22.6 juta berbanding RM23.7 juta pada tahun sebelumnya dengan hasil sebanyak RM321 juta atau peningkatan sebanyak 23.9% berbanding RM259.1 juta pada 6MFY23.

 

Pada 30 Jun 2024, kunci kira-kira kekal pada asasnya kukuh dengan tunai dan setara tunai sebanyak RM162.2 juta, nisbah penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.03x dan aset bersih sesaham sebanyak 48 sen.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Cape EMS, Christina Tee Kim Chin berkata, pihaknya berbesar hati untuk melaporkan pertumbuhan hasil yang ketara untuk kedua-dua bagi 1HFY24 dan 2QFY24, yang menekankan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kumpulan.

 

Katanya, walaupun berdepan landskap global yang mencabar termasuk ketegangan perdagangan AS-China, konflik geopolitik global, krisis Laut Merah dan dolar AS yang semakin lemah, pihaknya kekal berhati-hati dalam menguruskan operasi.

 

"Sambil mendapat manfaat permintaan kukuh dalam pasaran produk elektronik perindustrian, kami menumpukan kepada usaha meningkatkan kecekapan, daya saing dan keupayaan kami bagi menyesuaikan diri dengan pantas kepada peralihan pasaran yang tidak dijangka," katanya. - DagangNews.com