Untung bersih Deleum bagi 4QFY22 melonjak 30.5% kepada RM13.8 juta didorong sumbangan besar sektor jentera dan kuasa | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Deleum bagi 4QFY22 melonjak 30.5% kepada RM13.8 juta didorong sumbangan besar sektor jentera dan kuasa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Untung bersih Deleum Berhad melonjak 30.45% kepada RM13.8 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM10.6 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga melonjak sebanyak 64.4% atau peningkatan RM123.6 juta kepada RM315.5 juta berbanding RM192 juta didorong aktiviti jualan yang lebih tinggi dalam segmen kuasa dan jentera (P&M).

 

Prestasi kukuh bagi suku tersebut membawa kepada tahun kewangan yang lebih baik berakhir 31 Disember 2022 (FY22), dengan keuntungan bersih kumpulan meningkat dengan ketara kepada RM42.1 juta, meningkat 146.9% daripada RM17.1 juta setahun lalu.

 

Keputusan itu dicapai berikutan hasil kumpulan yang meningkat kepada RM698 juta daripada RM558.4 juta sebelumnya. 

 

Ketiga-tiga segmen menyaksikan hasil berkembang sepanjang tahun, dengan segmen P&M menjadi penyumbang terbesar.

 

Segmen P&M mencapai hasil suku tahunan yang lebih tinggi sebanyak RM263.1 juta, meningkat 90.9% tahun ke tahun daripada RM137.8 juta, hasil peningkatan penghantaran bahagian enjin pertukaran dan turbin, serta permintaan yang lebih tinggi untuk injap kawalan serta keselamatan serta pengatur aliran perkhidmatan.

 

Segmen itu terus menjadi penyumbang hasil terbesar kepada kumpulan, membentuk 72.2% daripada hasil keseluruhan sebanyak RM698 juta.

 

Segmen perkhidmatan medan minyak menyusut sebanyak RM27.9 juta pada 4QFY22 berbanding RM28.9 juta setahun lalu kesa daripada aktiviti yang lebih rendah daripada perkhidmatan slickline di rantau Malaysia Barat dan kontrak injap angkat gas.

 

Aktiviti penyelenggaraan yang lebih rendah dalam perniagaan Sponge-Jet Blasting (SPJ) di Indonesia mengakibatkan penurunan 2.9% dalam pendapatan segmen penyelesaian kakisan bersepadu (ICS) pada 4QFY22 kepada RM24.3 juta, berbanding RM25 juta. 

 

Pada masa yang sama, segmen itu melaporkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM6.8 juta pada 4QFY22 daripada RM7.2 juta sebelumnya, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada projek penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) selain peruntukan yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum, Rao Abdullah berkata, pihaknya menamatkan 2022 dengan keputusan yang baik dan ia merupakan untung bersih terbaik kumpulan sepanjang tujuh tahun lalu.

 

Beliau berkata, prestasi cemerlang itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan untuk membina kelebihan daya saing dengan mempunyai jumlah penyelesaian minyak dan gas untuk ditawarkan kepada pelanggan kami.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus menyepadukan perkhidmatan kami daripada tiga segmen untuk melakukan cross-and up-sell ke pasaran, dalam perjalanan untuk mencapai visi kami sebagai penyedia perkhidmatan terulung Malaysia.

 

"Bagaimanapun, kami juga mengambil kira potensi halangan termasuk risiko geopolitik di pelbagai bahagian dunia, ditambah pula dengan kenaikan kadar faedah yang menghalang pertumbuhan ekonomi global," katanya. - DagangNews.com