Untung bersih Ecofirst melonjak lebih dua kali ganda kepada RM41.5 juta pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ecofirst melonjak lebih dua kali ganda kepada RM41.5 juta pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Untung bersih Ecofirst Consolidated Bhd bagi suku keempat berakhir 31 Mei 2024 (4QFY24) melonjak lebih dua kali ganda kepada RM41.5 juta berbanding RM17 juta pada tahun sebelumnya didorong kadar jualan lebih tinggi untuk projek KL-48.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasilnya bagi suku berkenaan meningkat hampir lima kali ganda kepada RM87.86 juta berbanding RM17.84 juta pada 4QFY23.

 

Katanya, kadar penukaran jualan projek KL-48 di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur mencapai lebih 80%, dan kemajuan kerja tapak mencapai lebih 22% setakat 31 Mei 2024.

 

"Kumpulan itu memberikan fokus terhadap usaha meningkatkan jualan hartanah KL-48 dan pihaknya akan terus mencari tanah yang sesuai untuk pembangunan bagi meningkatkan prestasi pada masa hadapan," katanya.

 

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar kira-kira RM1 bilion daripada projek KL-48, Ecofirst berkata pihaknya optimis terhadap prospek pembangunan itu memandangkan lokasinya yang strategik, harga yang menarik dengan produk dan ciri yang baik.

 

Kumpulan itu berkata mereka sedang meneroka peluang perniagaan lain termasuk menjalin usaha sama dengan pemilik tanah bagi pembangunan hartanah atau mempertimbangkan pembangunan semula projek terbengkalai.

 

Bagi tahun kewangan penuh, untung bersih Ecofirst merosot sebanyak 12% kepada RM12.64 juta daripada RM14.37 juta pada tahun sebelumnya terutamanya disebabkan oleh peruntukan yang dibuat untuk penyusutan nilai aset bernilai RM15.18 juta disebabkan oleh keadaan pasaran yang “tidak menguntungkan” ditambah dengan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Hasil bagi FY24 bagaimanapun melonjak hamper lima kali ganda kepada RM165.79 juta daripada RM31.46 juta disebabkan sumbangan tambahan kerja yang dilakukan ke atas projek KL-48.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, keseluruhan pasaran hartanah kediaman menunjukkan peningkatan dalam kedua-dua jumlah dan nilai transaksi menerusi kerjasama dengan bank, menawarkan lebih banyak produk dengan mengutamakan pelanggan dan disokong inisiatif daripada kerjaan untuk pemilikan rumah. - DagangNews.com