Untung bersih FY21 Top Glove dijangka terjejas -1.8% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY21 Top Glove dijangka terjejas -1.8%

Kilang Top Glove di Klang. Kredit foto Malay Mail

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Keuntungan bersih syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) dijangka terjejas dengan penurunan sebanyak -1.8% menjelang tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan Diperketatkan (PKPD) yang membabitkan seramai 5,700 pekerja syarikat berkenaan.

 

"Dengan andaian bahawa PKPD dilaksanakan selama dua minggi seperti yang ditetapkan, kami menganggarkan kesan negatif terhadap pendapatan dan untung bersih Top Glove  pada tahun kewangan 2021 dengan masing-masing terjejas sebanyak -1.3% dan -1.8%.

 

"Untuk setiap minggu PKPD yang melibatkan 5,700 pekerja itu, kami kurangkan anggaran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2021 Top Glove sebanyak 0.7%," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bermula semalam, dua asrama Top Glove di Klang, Selangor dikenakan PKPD yang melibatkan seramai 5,700 pekerja syarikat berkenaan.

 

Perintah PKPD itu dikenakan selama dua minggu hingga 30 November 2020.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, kebanyakan pekerja yang terlibat itu merupakan pekerja asing dan tidak dibenarkan bekerja semasa perintah itu dijalankan.

 

Akibatnya, kilang Top Glove di Klang itu berkemungkinan akan beroperasi dengan kapasiti yang rendah dalam tempoh dua minggu akan datang.

 

"Walaupun begitu, kami percaya Top Glove akan dapat mengurangkan impak PKPD melalui pelbagai inisiatif termasuk mempercepatkan proses pengambilan pekerja tempatan sementara dan tetap untuk mengimbangi pekerja asing berkenaan.

 

"Top Glove juga boleh mengubahsuai campuran produk untuk mewujudkan tempahan berjumlah besar sahaja di kilang-kilang bagi mengurangkan keperluan buruh," tambah CGS-CIMB.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM10.00.

 

"Kami terus berminat dengan Top Glove kerana menjadi syarikat penerima utama terhadap permintaan sarung tangan yang lebih tinggi akibat pandemik COVID-19 seiring dengan kedudukannya sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com