Untung bersih Infoline Tec Group melonjak 55.1% kepada RM12.1 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Infoline Tec Group melonjak 55.1% kepada RM12.1 juta bagi FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Infoline Tec Group Berhad mencatatkan untung bersih bersih RM12.1 juta dengan pendapatan sebanyak RM72.8 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2022 (FY22).

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 63.2% dan 55.1% untuk pendapatan bersih berbanding RM44.6 juta hasil dan RM7.8 juta untung bersih tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21).

 

Keputusan keseluruhan FY22 juga mengambil kira perbelanjaan sekali sahaja berkaitan dengan pelaksanaan penyenaraiannya sebanyak RM900,000 pada 31 Disember 2022 dan kumpulan itu turut beroperasi pada kedudukan kewangan yang kukuh dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM24.9 juta.

 

Pada asas suku tahunan, kumpulan itu berjaya mencatatkan RM28.4 juta hasil dan RM3.6 juta untung bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (Q4FY22). 

 

Prestasi positif itu didorong oleh pertumbuhan perniagaan yang sihat merentas segmen, terutamanya dengan penyiapan serta penyampaian lebih banyak projek infrastruktur IT dan penyelesaian keselamatan siber menjelang separuh kedua 2022.

 

Daripada jumlah hasil untuk FY22, segmen penyelesaian infrastruktur IT kekal sebagai penyumbang utama untuk kumpulan itu dengan 63% daripada sumbangan, diikuti secara sinergi dengan 22.7% daripada penyelesaian keselamatan siber dan 12.5% daripada perkhidmatan IT terurus serta perkhidmatan lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Infoline Tec Group, Choo Wei Chuen berkata, pihaknya berbangga dengan keputusan itu dan berbesar hati untuk mengumumkan dividen interim sebanyak 83 sen sesaham.

 

Beliau berkata, pihaknya telah menggunkan sejumlah RM13.3 juta atau 56.1% daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) daripada jumlah RM23.7 juta mengikut perancangan termasuk penambahbaikan Pusat Operasi Rangkaian (NOC), penubuhan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) baharu.

 

"Bagi mengembangkan kehadiran tempatan dan antarabangsa, kami telah membawa masuk dua jurutera dan sedang mencari lebih ramai bakat untuk menyertai pasukan. 

 

"Syarikat juga telah memperbadankan anak syarikat milik penuh di Singapura baru-baru ini dan sedang giat mencari lebih banyak projek di negara-negara Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya adalah penyedia penyelesaian IT dan keselamatan siber berdedikasi yang dilengkapi dengan pengetahuan teknikal dan pengalaman praktikal yang dikumpulkan selama ini.

 

"Pasukan ini sentiasa mengukuhkan keupayaan dan kapasiti kami, untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami merentasi pelbagai pasaran dan industri.

 

"Kami optimis dengan perniagaan kami, didorong oleh permintaan yang teguh dan berdaya tahan dengan peningkatan dalam penggunaan dan kemajuan teknologi, transformasi digital, serta potensi besar daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)," katanya. - DagangNews.com