Untung bersih JKG Land susut kepada RM14.76 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih JKG Land susut kepada RM14.76 juta pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - JKG Land Berhad mencatatkan sedikit penyusutan untung bersih kepada RM14.76 juta bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding RM14.78 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan menyusut sebanyak 71% kepada RM25.14 juta berbanding RM88.8 juta bagi tahun sebelumnya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23), untung bersih kumpulan itu mencatatkan sedikit peningkatan kepada RM25.2 juta berbanding RM24.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu merekodkan penyusutan hasil sebanyak 42.2% kepada RM102.7 juta berbanding RM181.51 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Penyusutan bagi hasil dan keuntungan kumpulan adalah disebabkan kelemahan daripada segmen pembangunan hartanah yang kurang memberangsangkan.

 

"Penurunan hasil itu disebabkan penyiapan Fasa 1 ERA manakala Fasa 2 masih belum mencapai peringkat pembinaan lanjutan walaupun sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada projek pembangunan yang telah siap dan sedang berjalan di Kulim, Kedah untuk tahun kewangan semasa.

 

"Peningkatan dalam keuntungan operasi dan keuntungan kasar bagi suku semasa adalah disebabkan oleh pelarasan kos yang dibuat semasa memuktamadkan akaun kontrak pembinaan Fasa 1 ERA pada suku semasa," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, walaupun persekitaran semasa sangat mencabar, hartanah berkualiti di lokasi utama masih menawarkan kelas aset yang menarik untuk pembeli yang bijak untuk melindung nilai inflasi.

 

Di samping itu, kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan pengecualian duti setem untuk pemilikan rumah pertama di dalam Bajet 2023. 

 

"Ia dijangka menarik minat pembeli kali pertama berpendapatan sederhana hingga atas serta mereka yang ingin menaik taraf hartanah dan merupakan petanda baik untuk rangkaian produk kami di Lembah Klang dan Kedah.

 

"Melangkah ke hadapan, kummpulan akan terus menumpukan pada menyampaikan produk hartanah yang kompetitif dan berbeza yang boleh mengekalkan momentum pertumbuhannya," katanya. - DagangNews.com