Untung bersih Kerjaya Prospek melonjak 18.7% kepada RM115 juta bagi FY22 didorong kemajuan dalam aktiviti pembinaan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kerjaya Prospek melonjak 18.7% kepada RM115 juta bagi FY22 didorong kemajuan dalam aktiviti pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Kerjaya Prospek Group Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 18.7% kepada RM115 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM96.9 juta pada FY21.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15.2% kepada RM1.1 bilion berbanding RM977 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan hasil itu disebabkan oleh peningkatan dalam kemajuan aktiviti pembinaan dan peningkatan tenaga kerja dengan kemasukan buruh asing berbanding FY21 di mana Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) akibat wabak COVID-19.

 

Bagi 4QFY22, kumpulan itu merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 1.7% kepada RM28.7 juta didorong peningkatan hasil sebanyak RM288.7 juta.

 

Kunci kira-kira kumpulan itu kekal stabil dengan tunai bersih RM245 juta dan nisbah semasa 6.2 kali pada 31 Disember 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif kumpulan, Tee Eng Tiong berkata, pihaknya merekodka  hasil yang tinggi walaupun berdepan masalah dalam sektor pembinaan seperti kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos buruh dan bahan mentah serta ketidaktentuan tukaran mata wang.

 

Beliau berkata, prestasi kewangan FY222 itu disumbangkan oleh kepakaran dan rekod prestasi cemerlang kumpulan dalam industri membolehkan mereka meraih kemenangan kontrak sebanyak RM1.8 bilion pada tahun berkenaan.

 

"Kami berjaya mendapatkan dua kontrak daripada BBCC Development Sdn. Bhd. dan Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. menjadikan kemenangan kontrak sehingga kini sebanyak RM533.4 juta.

 

"Kumpulan akan terus memantau dan melaksanakan strategi perniagaan yang sesuai untuk memastikan kami dapat mengekalkan momentum pertumbuhan kami dalam jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu akan melancarkan projek pembangunan baharunya, Yakin Land Development menjelang separuh pertama FY23. - DagangNews.com