Untung bersih Kronologi Asia meningkat 40.3% kepada RM3.1 juta bagi 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kronologi Asia meningkat 40.3% kepada RM3.1 juta bagi 2QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - Kronologi Asia Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 40.3% kepada RM3.1 juta bagi suku kedua tahun kewangan fiskal 2023 (2QFY23) berakhir 31 Julai 2022.

 

Hasil kumpulan juga berkembang sebanyak 10.1% kepada RM63.13 juta manakala pendapatan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM19.28 juta.

 

Untung bersih kumpulan itu susut sebanyak 41.7% berbanding RM9.12 juta pada 1HFY22 kesan kos kewangan lebih tinggi dan susut nilai hartanah, kilang dan peralatan daripada pelaburan dalam peralatan infrastruktur untuk langganan Pengurusan Data Perusahaan (EDM).

 

Majoriti hasil kumpulan diiktiraf dari Singapura sebanyak RM48.54 juta (40.3% daripada jumlah hasil), diikuti China dan Filipina yang mencatatkan RM55.86 juta (46.4% daripada jumlah hasil).

 

Berdasarkan kategori produk, segmen EDM terus mendominasi hasil kumpulan sebanyak RM91.34 juta atau 75.8% daripada jumlah hasil.

 

Cabaran makroekononi berterusan, kos yang lebih tinggi untuk menjalankan perniagaan dan ketidaktentuan geopolitik, mengakibatkan penggunaan teknologi lebih perlahan serta kelewatan pengeluaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Edmond Tay berkata, prestasi kumpulan pada suku terakhir dan sepanjang tempoh fiskal ini adalah lebih lemah daripada jangkaan awal.

 

"Bagaimanapun, kami tetap optimis dan berhati-hati dengan pembukaan semula ekonomi di China serta penggunaan berterusan terhadap model penggunaan (bayar dan pakai) dan langganan (As-A-Service) akan memacu prestasi pada 2HFY23," katanya. - DagangNews.com