Untung bersih Maxis untuk FY22 susut 9.7% kepada RM1.18 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Maxis untuk FY22 susut 9.7% kepada RM1.18 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Untung bersih Maxis Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) menyusut sebanyak 9.7% kepada RM1.18 bilion berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Penyusutan itu berpunca daripada Cukai Makmur yang dikenakan sebanyak 33% ke atas kumpulan itu.

 

Hasil perkhidmatan kumpulan itu meningkat kepada RM8.3 bilion naik sebanyak 40% berikutan pertumbuhan dalam semua segmen dalam perniagaan pengguna dan perusahaan.

 

Perniagaan pengguna mencatatkan hasil sebanyak RM6.8 bilion, peningkatan 4.8% dengan pascabayar terus menyaksikan peningkatan 6.5% menjadikan langgan pascabayar kepada 3.34 juta sekali gus menyumbang hasil sebanyak RM3.3 bilion atau peningkatan 6.9%.

 

Prabayar mencatatkan penurunan 2.9% dalam langganan, disebabkan migrasi prabayar kepada pascabayar yang berterusan.

 

Segmen itu kekal berdaya tahan, dengan pelanggan keseluruhan stabil pada 5.79 juta dan memberikan hasil sebanyak RM2.6 bilion.

 

Kesalinghubungan Kediaman menyampaikan pertumbuhan hasil dua digit, menyumbang RM843 juta, meningkat 16.9% manakala hasil Perniagaan Perusahaan berjumlah RM1.5 bilion.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga meningkat sebanyak 1.6% kepada RM3.9 bilion didorong hasil yang lebih tinggi.

 

Pada 2022, kumpulan itu melabur sebanyak RM1.1 bilion dengan fokus untuk menaik taraf dan membina tapak mudah alih baharu untuk pengembangan 4G dan meningkatkan jejak fibernya ke lebih banyak rumah dan perniagaan. 

 

Mengenai 5G, kumupulan itu berharap dapat melancarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial tidak lama lagi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pihaknya perlu cepat menyesuaikan diri dengan landskap telekomunikasi yang berubah-ubah.

 

"Kekuatan kami dalam mudah alih, rangkaian, tawaran konvergen dan jejak gentian yang meluaskan meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk terus maju sebagai penyedia penyelesaian terkemuka di Malaysia. 

 

"Banyak yang perlu dilakukan tahun ini kerana kami menjangkakan persekitaran yang semakin mencabar pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com