KUALA LUMPUR 29 Ogos - Untung bersih OM Holdings Limited meningkat lebih tiga kali ganda kepada AS$60 juta (RM269.40 juta) pada 1HFY22 berbanding AS$18.1 (RM81.27 juta) pada 1HFY21.
Keuntungan itu dipacu oleh peningkatan hasil sebanyak 35% kepada AS$466.7 juta (RM2.09 bilion) pada 1HFY22 berbanding AS$345.9 juta (RM1.56 juta) pada 1HFY21.
Pendapatan Sebelum Cukai Faedah, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 114.8% kepada AS$104.6 juta (RM469.65 juta) daripada AS$48.7 juta (RM218.66 juta) setahun lalu.
Prestasi kewangan keseluruhan yang kukuh kumpulan disokong oleh harga yang lebih tinggi untuk bijih mangan, ferosilikon dan aloi silikomangan yang telah digunakan sejak 4QFY21.
Persekitaran pasaran kukuh pada awal tahun ini telah mengalir sehingga 1HFY22 disebabkan harga ditetapkan dua hingga tiga bulan lebih awal semasa tempoh ketidaktentuan bekalan pada 4QFY21.
Kumpulan melaporkan peningkatan dalam nisbah peminjaman kepada ekuiti daripada 0.67 kali pada 31 Disember 2021 kepada 0.54 kali dengan pembayaran balik kira-kira AS$12.9 juta (RM57.92 juta) untuk pinjaman Projek Sarawak dan penggunaan kemudahan pembiayaan perdagangan yang lebih rendah.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Low Ngee Tong berkata, operasi kumpulan berjalan lancar selepas penukaran relau serta penyelenggaraan utama dan berjaya memberikan hasil yang positif.
Kompleks peleburan utama kumpulan dikuasakan oleh kuasa hidro yang mampan, disokong oleh perjanjian pembelian kuasa jangka panjang menyediakan OM Sarawak dengan profil kos kuartil terendah dan faedah jejak karbon yang besar.
"OM Sarawak telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan utama sejak Jun 2022 tetapi berada di landasan yang betul untuk mencapai pengeluaran 340,000 hingga 360,000 tan ferroalloi menjelang akhir 2022.
"Sementara itu, kami kekal fokus pada komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran utama yang ditetapkan dalam Penyata Kemampanan kami.
"Kami sedang memasuki fasa yang sangat mengujakan dengan projek pertumbuhan utama sedia ada, dan penyempurnaan pemilikan penuh operasi peleburan Sarawak kini sedang dijalankan walaupun dalam persekitaran makro yang mencabar," katanya. - DagangNews.com