Untung bersih Petronas Chemicals dijangka naik mendadak tahun ini | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Chemicals dijangka naik mendadak tahun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2021 (FY21) yang bakal dicatatkan oleh Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dijangka mampu meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu. 

 

Jangkaan itu dibuat oleh penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap, di mana menghampiri paras sama dicatatkan oleh PCG pada FY17 dan FY18. 

 

“Ketika IHS menjangkakan harga polimer akan melonjak pada Jun dan trendnya lebih rendah apabila gangguan bekalan selesai, kami tidak terlalu risau terhadap sebarang penurunan bermula Jun. 

 

“Kadar penurunan itu mungkin sederhana memandangkan permintaan global terhadap plastik akan meningkat setelah perintah berkurung dilonggarkan. 

 

“PCG berisiko rendah, sebuah syarikat dengan kualiti perolehan tinggi dan berterusan bermain dalam harga petrokimia yang lebih kukuh dengan pendedahan rendah terhadap kos nafta yang tidak menentu,” jelas Yap dalam nota kajiannya. 

 

PCG

 

Jangkaan dibuat oleh Yap itu 45% lebih tinggi daripada unjuran-unjuran firma penyelidikan yang lain.

 

Sehubungan itu, Yap mengubahsuai saranan ‘kurangkan’ saham PCG kepada ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM9.20. 

 

Baca : CGS-CIMB ubah saranan saham LCT kepada ‘tambah’

 

Antara faktor yang menyumbang kepada pengubahsuaian itu adalah pengeluaran petrokimia Teluk Amerika Syarikat yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya akibat ribut salji Uri. 

 

Selain itu, turut mengambil kira sekatan pengeluaran Pertubuhan Negara‑Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) yang melonjakkan harga minyak, mendorong kenaikan harga petrokimia dan faktor jangka pendek lain mungkin mengetatkan bekalan petrokimia.

 

“Kami tidak lagi dapat memberikan alasan bagi penarafan ‘kurangkan’ ke atas PCG, memandangkan kebimbangan kami terhadap potensi penurunan harga jualan petrokimia bermula suku kedua 2021 (2Q21) tiada lagi. 

 

Baca : Harga petrokimia dijangka susut bermula April 2021 

 

“Ini kerana walaupun terdapat banyak penambahan kapasiti loji di China dan di tempat lain, kadar operasi kilang di AS, Timur Tengah dan di tempat lain telah direncatkan oleh isu-isu berkaitan cuaca, yang mengakibatkan penurunan bekalan sedia ada berbanding dengan kekuatan permintaan yang berterusan,” jelas Yap.

 

Setakat 12.27 tengah hari, nilai saham PCG menokok 65 sen daripada RM7.82 kepada RM8.47. - DagangNews.com