KUALA LUMPUR 13 Mac - Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 14% kepada RM13.38 juta untuk suku tahun kedua berakhir 31 Januari 2023 (2QFY23) berbanding RM11.69 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong penurunan harga bahan mentah, campuran produk yang menggalakkan dan kos pengangkutan yang lebih rendah.
Perolehan suku tahunan juga lebih baik walaupun berdepan cabaran peningkatan kos elektrik, kos kakitangan dan perbelanjaan operasi lain.
Keuntungan itu juga 9% lebih tinggi daripada keuntungan bersih RM12.28 juta yang dicatatkan pada 1QFY23.
Bagaimanapun, hasil bagi 2QFY23 meningkat sedikit 1.8% kepada RM198.06 juta daripada RM194.47 juta pada 2QFY22.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, jualan daripada pasaran domestik menyumbang RM107.35 juta atau 54.2% daripada hasil suku tahunan, manakala eksport membentuk baki RM90.71 juta atau 45.8% .
Bagi tempoh enam bulan (1HFY23), untung bersih meningkat 19% kepada RM25.65 juta berbanding RM21.49 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 9.9% tahun ke tahun kepada RM411.98 juta daripada RM374.78 juta.
Mengenai prospek tahun kewangan semasa, lumpulan itu berkata, pelan pengembangan kapasitinya kekal pada landasan yang betul dan bertujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan kapasiti untuk meningkatkan pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengeluaran, membangunkan produk yang inovatif serta nilai tambah yang memenuhi trend pasaran.
"Ketidaktentuan geopolitik yang berterusan ditambah dengan tekanan inflasi yang meningkat terus menimbulkan cabaran operasi kepada kumpulan kerana permintaan pengguna mungkin terjejas oleh sentimen pasaran keseluruhan," katanya.
Sementara itu, kumpulan itu berkata, keadaan sosioekonomi di Myanmar terus mencabar dan meramalkan keadaan itu akan kekal untuk jangka pendek dan sederhana.
Sementara itu, kumpulan akan terus menguruskan operasinya bagi meminimumkan sebarang kesan buruk sambil meneroka pilihan yang berkaitan dengan operasi di Myanmar. - DagangNews.com